Tangani masalah penghijrah

Tangani masalah penghijrah

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Okt – Mesyuarat Kemuncak Forum Global mengenai Migrasi dan Pembangunan (GFMD) ke-8, kini sedang berlangsung di Istanbul, Turki, bermula kelmarin (14 Oktober) hingga esok, dengan mengetengahkan tema ‘Mengukuhkan Perkongsian: Migrasi dan Mobiliti Manusia bagi Pembangunan Mapan’.

Dipengerusikan oleh Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Turki, Tuan Yang Terutama Feridun H. Sinirlioğlu, mesyuarat berkenaan disertai oleh 150 buah negara termasuk Brunei Darussalam yang diwakili oleh delegasi dari Jabatan Pendaftaran Imigresen dan Kebangsaan (JPIK).

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kedutaan Turki di Brunei Darussalam, Mesyuarat Kemuncak GFMD itu diadakan selepas Agenda 2030 bagi Pembangunan Mapan diratifikasikan secara rasmi oleh negara-negara anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan tatkala peningkatan perhatian global ke atas keadaan menyedihkan para penghijrah.

Sepanjang acara berkenaan, tiga mesyuarat meja bulat diadakan bagi memastikan peranan dan kaitan penting GFMD dalam dialog global mengenai migrasi dan pembangunan, yang mana masing-masing membawa topik ‘Mobiliti manusia dan kesejahteraan penghijrah’, ‘Migrasi sebagai faktor dalam pembangunan’ dan ‘Meningkatkan kerjasama antarabangsa ke atas isu-isu baru muncul dalam migrasi dan mobiliti’.