Tangani penyakit tidak berjangkit

Tangani penyakit tidak berjangkit

Oleh Salawati Haji Yahya

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Sept – Penyakit kardiovaskular adalah penyebab kedua utama kematian di Negara Brunei Darussalam selepas penyakit kanser pada lima tahun kebelakangan ini.

Pada tahun 2014, seramai 227 orang iaitu 15.4 peratus dari jumlah keseluruhan kematian seramai 1,470 orang di negara ini disebabkan oleh penyakit berkenaan.

Statistik ini dikongsikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Mohd Yusof semasa menyampaikan ucapan di Majlis Perasmian Sambutan Hari Jantung Sedunia 2015 yang berlangsung di Pusat Jantung, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), hari ini.

Dalam pada itu, Yang Berhormat Pehin turut mengongsikan hasil laporan Kaji Selidik Kesihatan dan Pemakanan Kebangsaan Kali Kedua bagi 2010-2011, dalam kalangan umur lima hingga 75 tahun di negara ini, yang menurutnya, menunjukkan beberapa dapatan yang membimbangkan.

Lebih satu pertiga daripada penduduk di negara ini tidak memenuhi garis pandu kebangsaan bagi aktiviti fizikal iaitu sekurang-kurangnya 150 minit seminggu manakala dari segi pemakanan pula, kurang daripada 10 peratus penduduk memenuhi sasaran pengambilan buah-buahan atau sayur-sayuran sebanyak lima hidangan sehari.

Yang Berhormat Pehin Haji Adanan membuat pemeriksaan kesihatan.
Yang Berhormat Pehin Haji Adanan membuat pemeriksaan kesihatan.
Yang Berhormat Pehin ketika menyaksikan pameran dan peralatan perubatan.
Yang Berhormat Pehin ketika menyaksikan pameran dan peralatan perubatan.

Manakala itu, 60.5 peratus daripada orang dewasa mempunyai indeks jisim tubuh (BMI) iaitu 33.4 peratus dikategorikan mempunyai berat badan berlebihan dan 27.1 peratus tergolong dalam obes, 17.2 peratus mengidap diabetes dan 19 peratus menghidap penyakit darah tinggi.

Sementara itu, tambah Yang Berhormat Pehin lagi, dalam kalangan mereka yang berumur 20 hingga 75 tahun pula mempunyai masalah tekanan darah tinggi iaitu sebanyak 33.9 peratus yang kebanyakannya berumur 40 tahun ke atas.

Menyedari akan faktor-faktor risiko, cabaran dan bebanan terhadap trend peningkatan penyakit tidak berjangkit di negara ini termasuk penyakit jantung, obesiti, tekanan darah tinggi, penggunaan produk tembakau, kurang melakukan aktiviti fizikal dan makan makanan kurang sihat yang dikenal pasti menyumbang kepada penyakit jantung dan strok, Yang Berhormat Pehin berkata Kementerian Kesihatan telah melaksanakan Pelan Tindakan Multi-Sektor Kebangsaan Negara Brunei Darussalam bagi Pencegahan dan Pengawalan Penyakit-penyakit Tidak Berjangkit 2013-2018 (Bru-MAP NCD 2013-2018).

Beliau berkata, di bawah pelan ini pelbagai inisiatif telah diungkayahkan untuk memberigakan dan meningkatkan kesedaran serta komitmen secara menyeluruh dalam kalangan pelbagai agensi termasuk sektor kerajaan, swasta, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan, institusi pendidikan dan masyarakat di negara ini bagi sama-sama menangani, mencegah, mengawal dan mengurangkan beban penyakit-penyakit tidak berjangkit daripada terus menular dan berleluasa di negara ini.

Antara strategi penting yang diperkenalkan oleh Kementerian Kesihatan, katanya, ialah melalui program saringan khusus di pusat-pusat kesihatan di negara ini khususnya menyasarkan kepada rakyat dan penduduk negara yang berumur 40 tahun ke atas.

Ini dihasratkan dapat mengesan awal faktor risiko bagi penyakit tidak berjangkit termasuk penyakit kardiovaskular sebelum penyakit ini menjadi kronik dan kompleks.

Sehubungan itu, Yang Berhormat Pehin menyarankan orang ramai khususnya mereka yang berisiko tinggi supaya menjalani pemeriksaan kesihatan yang disediakan oleh kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Kementerian Kesihatan dan memanfaatkan dengan sebaiknya untuk mengetahui tahap kesihatan secara menyeluruh.

Para jemputan yang hadir di majlis berkenaan.
Para jemputan yang hadir di majlis berkenaan.

Manakala itu, bagi yang mempunyai tanda-tanda awal atau simptom penyakit kronik setelah menjalani pemeriksaan kesihatan untuk mengelakkan ia menjadi kronik dinasihatkan terus berjumpa doktor bagi mendapatkan pemeriksaan dan rawatan lanjut.

Menurut beliau, pengesanan awal membolehkan rawatan dapat diberikan dengan lebih berkesan dan penyakit boleh dicegah serta dikawal daripada menjadi lebih kronik dan kompleks serta kemungkinan boleh mengakibatkan penderitaan sepanjang hayat atau menyebabkan kematian.

Selain itu, Pusat Jantung Hospital RIPAS, tambah beliau lagi, terus melaksanakan program yang dikendalikan oleh jururawat dalam usaha pengesanan awal penyakit jantung iaitu melalui program saringan, menggunakan ‘Cardiac CT’ khususnya bagi mereka yang ‘vulnerable’ dan berisiko tinggi.

Pada majlis perasmian berkenaan, Yang Berhormat Pehin turut menerima barang-barang bagi kegunaan pesakit yang disampaikan oleh Pengarah Fiziq Enterprise Brunei, Pengiran Haji Talip bin Pengiran Haji Lampoh.

Sejurus dengan itu, Yang Berhormat Pehin turut melihat lebih dekat lagi pameran dan peralatan perubatan diagnosis jantung di pusat berkenaan.

Majlis sambutan berkenaan telah diisikan dengan klinik terbuka anjuran Pusat Jantung Hospital RIPAS yang diadakan bermula pukul 8:00 pagi hingga 12 tengah hari tadi.

Sempena hari terbuka itu, orang ramai berpeluang membuat pemeriksaan saringan kesihatan di samping berinteraksi dengan doktor-doktor, jururawat, juruteknik jantung, pegawai pemakanan dan ahli Profesional Bersekutu Kesihatan (AHP) yang lain.

Selain itu, ceramah kesihatan dan mini pameran poster dan peralatan perubatan diagnosis jantung yang digunakan seperti alat ‘echocardiogram’, ‘stress test’, holter, peralatan perentak jantung (pacemaker) dan sebagainya turut diadakan.

Sambutan Hari Jantung Sedunia 2015 yang membawa tema ‘Healthy Heart Choices for everyone, Everywhere’ ini dapat membantu meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap isu-isu yang boleh membantu diri mereka untuk mengurangkan beban penyakit jantung di negara ini.

ARTIKEL YANG SAMA