Tangani perolehan secara bijak

Tangani perolehan secara bijak

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Sept – Buat julung-julung kalinya di negara ini, CONFEX akan menganjurkan Persidangan Perolehan Brunei pada 6 Oktober 2015 dengan mengetengahkan tiga penceramah antarabangsa.

Pada persidangan yang akan berlangsung di Hotel Parkview, Jerudong itu, Kristina Malihi, Dr Keith Thomas dan Mark Lamb akan membentangkan ucaptama di mana mereka akan mengongsikan pengalaman dan kepakaran mereka.

Menurut kenyataan CONFEX, Kristina Malihi merupakan Pengarah dan Perunding Utama di Konsultan Lanjutan Asia Pasifik (APAC), Australia dan kini sedang membuat ijazah kedoktoran dalam Pentadbiran Perniagaan dengan Universiti Korea, dan menerima ijazah sarjana (MBA) dalam bidang Pengurusan Rangkaian Pembekalan di universiti yang sama.

Dalam persidangan itu, beliau akan membincangkan topik ‘Membangunkan Pertubuhan Pembelajaran Mapan dengan Proses Pengukuran dan Penilaian Prestasi Pembekal yang efektif’ dan akan menjadi pelatih pada acara khas selepas persidangan dalam bengkel “Proses Perolehan Efektif” yang akan diadakan pada 7 dan 8 Oktober.

Manakala, Dr Keith Thomas yang merupakan pesara berpangkat Leftenan Kolonel tentera sebelum beralih ke bidang akademik, dengan kepakaran mengajar subjek-subjek berkaitan kepimpinan dan pengurusan akan membincangkan topik ‘Kepimpinan: Setakat mana dan untuk tujuan apa’.

Penceramah ketiga, Mark Lamb pula merupakan Pengarah Urusan Australasia, Chartered Institute of Purchasing & Supply (CIPS) dan akan menyentuh mengenai bagaimana CIPS menetapkan penanda aras dalam piawaian global bagi perolehan dan pembekalan.

Menurut kenyataan CONFEX, agenda persidangan itu adalah bagi mengumpulkan pakar-pakar perolehan dan profesional ke arah aktiviti komersial sihat dan positif bagi sektor swasta dan awam di samping memperkasakan delegasi-delegasi persidangan dengan pengetahuan dan panduan mengenai trend terkini dalam pasaran global.

Sementara itu, bengkel selepas persidangan bertajuk ‘Proses Perolehan efektif’ pula bermatlamat untuk mendukung pengurusan dalam pelaksanaan strategi-strategi penambahbaikan proses perniagaan yang menyelaraskan amalan-amalan pertubuhan dengan objektif-objektif strategik.

ARTIKEL YANG SAMA