Tanggapan buruk perlu dikikis

Tanggapan buruk perlu dikikis

Oleh Mohamad Asyramisyanie

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Jan – Tanggapan penganjuran kejohanan oleh Persatuan Sepak Takraw Brunei Darussalam (PESTABARU) satu penganjuran kampungan perlu dikikis dan ia sama sekali tidak benar kerana PESTABARU sentiasa melihat kepada pembaharuan dan mengikut ketetapan yang selaras dengan syarat Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF).

Perkara itu antara yang ditegaskan oleh Presiden PESTABARU, Pengiran Haji Ali Hassan bin Pengiran DSLJ Haji Abbas ketika mempengerusikan mesyuarat pengurus-pengurus pasukan yang terlibat dengan kejohanan sepak takraw terbuka di bawah 21 tahun sempena sambutan Hari Belia Negara Brunei Darussalam tahun 2015 hari ini.

Berucap di awal majlis yang berlangsung di Pejabat PESTABARU di Kompleks Sukan Negara Hassanal Bokiah, Berakas, Pengiran Haji Ali Hassan menegaskan PESTABARU sentiasa proaktif dalam pembangunan dan profesionalisme baik daripada aspek penganjuran mahupun pentadbirannya.

“Kita sentiasa belajar dan mengambil pengalaman daripada satu penganjuran ke satu penganjuran yang lain bagi usaha memperelok lagi dan mempertingkatkan mutu sukan Sepak Takraw di negara ini,” ujarnya.

Presiden PESTABARU ketika berucap di majlis itu.
Presiden PESTABARU ketika berucap di majlis itu.

Tahun lalu banyak perancangan tidak dapat dijalankan ekoran beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan namun menegaskan 2016 ini akan melihat banyak aktiviti yang bakal diadakan termasuk kejohanan sepak takraw pantai sedikit masa lagi.

“Ia merupakan usaha persatuan dan pasukan-pasukan takraw di negara ini untuk memeriahkan lagi persada takraw di negara ini sebagai salah satu sukan yang diminati dan mendapat perhatian ramai,” tegasnya.

Dalam majlis itu beliau turut memberitahu ketua-ketua pasukan tahun ini PESTABARU akan memberikan penekanan kepada permintaan ISTAF bagi meletakkan nombor pada sebelah hadapan jersi setiap pasukan dan ia akan diperketat sedikit masa lagi selepas kejohanan sulung pada tahun ini besok.

“Saya turut dihubungi oleh Persatuan Sepak Takraw Malaysia ekoran penglibatan skuad negara di dalam Trofi Felda Dato Isa di Kuala Lumpur mengenai format kejohanan dan mewakili seluruh warga PESTABARU kami mendoakan kejayaan skuad negara kita dalam kejohanan itu,” tambahnya.

Beliau turut mendedahkan mengenai format empat sepasukan yang bakal diperkenalkan dalam kejohanan itu dan menegaskan meskipun ia baru namun ia satu pendedahan yang bagus bagi persediaan pasukan negara bagi format itu di masa akan datang.

Ketika ditanya kepada Penolong Jurulatih Kebangsaan, Awang Jafar bin Mohd Wali akan format yang terbaru yang diperkenalkan PSM itu, beliau menyatakan bahawa skuad kebangsaan akan menyertai regu biasa akan melihat dengan lebih dekat bagaimana corak sebenar format baru itu ketika berada di sana nanti.

“Saya yakin format ini diperkenalkan bagi penganjuran besar Malaysia seperti sukan Asia Tenggara dan yang lain dan menurut penerangan yang diberikan oleh Presiden PESTABARU permainan bagi format itu seakan-akan regu double,” ujar Awang Jafar.