Tangguh penerbangan, amaran misil

Tangguh penerbangan, amaran misil

HONG KONG, 14 Okt – Penerbangan Hong Kong, Cathay Pacific telah menangguhkan penerbangan di ruang udara Iran dan Laut Caspian, selepas Agensi Keselamatan Penerbangan Eropah (EASA) mengeluarkan amaran berhubung peluru berpandu yang dilepaskan di Syria.

EASA campur tangan ketika Rusia memperkukuhkan kempen udaranya ke atas militan-militan Islam di Syria. Minggu lalu Moscow melancarkan tembakan serentak peluru berpandu krus dari kapal perangnya di Caspian.

Cathay hari ini berkata ia telah menangguhkan penerbangan dalam respons terhadap bahaya.

“Memandangkan situasi di rantau ini, Cathay Pacific menangguhkan semua penerbangan di ruang udara Iran dan Laut Caspian sejak Khamis lalu sehingga makluman lanjut,” menurutnya dalam satu kenyataan.

Penerbangan itu mengatakan ia telah menerima makluman keselamatan dari EASA dan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa PBB (ICAO) tetapi menambah kata makluman itu tidak membuat rekomendasi khusus kepada pihak-pihak penerbangan.

Cathay telah pun mempunyai dasar jangka panjang untuk tidak melintasi ruang udara Iraq, Afghanistan, Ukraine dan Syria, menurut kenyataan itu lagi.

Dalam buletin keselamatannya pada minggu lalu, EASA berkata ‘peluru berpandu dalam perjalanan ke Syria menyeberangi ruang udara di Iran dan Iraq di bawah laluan penerbangan yang digunakan oleh pesawat udara pengangkutan komersial.”

Peluru berpandu itu telah dilancarkan dari Laut Caspian, menurutnya, dengan menambah kata makluman itu adalah untuk ‘mewujudkan kesedaran’ bagi para pengguna ruang udara.

Penerbangan Australia, Qantas hari ini berkata ia telah memilih untuk tidak menangguhkan penerbangan di ruang udara di kawasan itu.

“Pihak Eropah berkata pengeluaran makluman itu ada, tetapi tidak membuat sebarang rekomendasi atau perubahan kepada apa yang dilakukan oleh pihak penerbangan,” kata ketua eksekutif Alan Joyce. “Jika timbul masalah, dan jika tidak bertukar menjadi masalah, Qantas tidak akan menerbangkan pesawat udara melalui ruang udara itu. Namun maklumat yang kami ada mengatakan adalah selamat untuk berbuat demikian.”

Qantas membuat penerbangan di ruang udara Iran bagi pusingan penerbangan Dubai ke London.

Sementara itu, Singapore Airline dalam kenyataannya mengatakan hari ini yang ia telah ‘menyambung semula perjalanan normalnya’ selepas sebelumnya mengalihkan beberapa penerbangan untuk mengelak dari kawasan Lautan Caspian.

Ia tidak menjelaskan kenapa ia telah menyambung semula perkhidmatan berkenaan. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA