Tangguh pilihan raya presiden Burundi

Tangguh pilihan raya presiden Burundi

BUJUMBURA, 9 Jun (AFP) – Suruhanjaya Pilihan Raya Burundi semalam mencadangkan agar ditangguhkan pilihan raya presiden kepada 15 Julai depan, selepas berminggu-minggu bantahan berhubung bidaan bagi penggal ketiga oleh Presiden Pierre Nkurunziza.

Suruhanjaya tersebut turut mencadangkan penangguhan pilihan raya Parlimen kepada 26 Jun dan mengadakan pilihan raya Senator pada 24 Julai.

Pilihan raya Parlimen sepatutnya dijadualkan pada 5 Jun tetapi ditangguhkan menjelang pengundian itu, sementara pengundian bagi pilihan raya presiden pada awalnya dijadualkan pada 26 Jun.

Kira-kira 40 orang maut dan sejumlah besar yang lain mengalami kecederaan dalam bantahan yang bermula apabila Nkurunziza mengumumkan pada lewat April bahawa beliau akan bertanding lagi, selepas Mahkamah Perlembagaan Burundi memberikannya lampu hijau.

Penentang Nkurunziza berkata pencalonannya adalah tidak menurut perlembagaan dan bertentangan dengan perjanjian damai Arusha 2006 yang menamatkan perang saudara selama 13 tahun.

Nkurunziza terselamat dalam percubaan merampas kuasa bulan lepas dan sejak itu menerima tekanan antarabangsa, termasuk pemotongan bantuan, bertujuan memaksanya menimbang semula keputusannya itu.

“Tarikh 15 Julai dicadangkan bagi pelaksanaan pilihan raya presiden,” ketua suruhanjaya pilihan raya, Pierre-Claver Ndayicariye, mengumumkan, sambil menegaskan bahawa langkah itu selaras dengan perakuan dibuat oleh para pemimpin Afrika Timur.