Tanggungjawab akhbar penting

Tanggungjawab akhbar penting

Oleh Imelda Farrah Zohre HA

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Mei – Media menggalas tanggungjawab besar dan berat untuk membentuk pemikiran, pendapat dan persepsi umum dalam menyampaikan berita yang bukan sahaja menepati kebenaran bahkan apa yang penting adalah gagasan kepada masa depan negara.

Untuk itu, tanggungjawab daripada segi penyampaian berita bermula daripada pemberita sehingga editor dan akhir sekali, penyudahannya untuk disiarkan adalah penting bagi sebuah akhbar.

Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman menekankan perkara itu ketika berucap di Majlis Pelancaran Tinta Permata sempena ulang tahun ke-20 Media Permata, di Restoran Millenium di sini hari ini.

Menurut Yang Berhormat Pehin lagi, akhbar Media Permata menepati kriteria yang menghidangkan berita semasa yang semakin baik kandungannya dan cara penyampaiannya serta susun atur pula lebih menarik bagi menawan pembacanya.

Yang Berhormat Pehin turut menyeru pihak pengurusan Media Permata untuk terus meningkatkan lagi kandungan untuk meliputi perkara-perkara yang diminati ramai apa tah lagi Media Permata sudah pun bertapak di negara ini selama 20 tahun. Yang Berhormat Pehin turut memuji dan mengucapkan tahniah kepada Brunei Press kerana Media Permata mampu menjadi akhbar berbahasa Melayu dalam sejarah akhbar dan kewartawanan di Brunei yang dapat bertahan lebih daripada 7-10 tahun selain Pelita Brunei.

Yang Berhormat Pehin melancarkan Tinta Permata sambil diperhatikan oleh Reggie See.
Yang Berhormat Pehin melancarkan Tinta Permata sambil diperhatikan oleh Reggie See.
Reggie See menyampaikan buku Tinta Permata kepada Yang Berhormat Pehin.
Reggie See menyampaikan buku Tinta Permata kepada Yang Berhormat Pehin.
Yang Berhormat Pehin bergambar ramai bersama warga Brunei Press.
Yang Berhormat Pehin bergambar ramai bersama warga Brunei Press.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Badaruddin, Albert Lau, Reggie See, Dayang Hazizah dan Editor Media Permata, Awang Mohd Noor bin Che Mat bersama-sama memotong kek pelancaran buku Tinta Permata.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Badaruddin, Albert Lau, Reggie See, Dayang Hazizah dan Editor Media Permata, Awang Mohd Noor bin Che Mat bersama-sama memotong kek pelancaran buku Tinta Permata.

“Kemapanan Media Permata ini adalah sesuatu yang istimewa yang jika dikira dari usianya, sama seperti belia berusia antara 20-25 tahun dan Brunei mensyukuri adanya akhbar ini kerana sebagai negara yang menghadapi kemodenan, memerlukan kriteria-kriteria sebuah masyarakat dan negara moden yang dipenuhi dengan adanya Media Permata dan pelbagai media umum lainnya,” kata Yang Berhormat Pehin lagi.

Daripada segi penempatan pekerja tempatan pula, Yang Berhormat Pehin dimaklumkan bahawa 90 peratus daripada warga kerja Brunei Press Sdn Bhd adalah warga tempatan.

Beliau percaya ini bukan sahaja di peringkat bawahan malahan di peringkat yang bertanggungjawab daripada segi membuat liputan berita, penyuntingan dan penyiaran berita.

Ini menunjukkan dasar yang dijalankan oleh Brunei Press untuk localization terus berjalan dengan baik tanpa mengabaikan kepakaran dari luar, tambahnya.

Gambar ramai antara warga Media Permata yang hadir di majlis pelancaran buku berkenaan, kelmarin.
Gambar ramai antara warga Media Permata yang hadir di majlis pelancaran buku berkenaan, kelmarin.

Yang Berhormat Pehin juga mengalu-alukan usaha untuk menjadikan Brunei Press sebagai rakan strategik kepada kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dalam mendukung hasrat bernegara di mana masyarakat sudah menerima satu cara hidup yang berbaik-baik mengikut sistem sosial dan politik.

“Ini disedari oleh akhbar yang ada di Brunei ini dan sekali gus menggembirakan dan kita percaya cara itu dapat melihat perkembangan yang lebih lanjut bagi kewartawanan yang bercorak Brunei tetapi mempunyai ‘flavor’ serantau dan antarabangsa,” tambahnya.

Di majlis itu, Yang Berhormat Pehin melancarkan buku yang menelusuri 20 tahun perjalanan akhbar Bahasa Melayu, Media Permata bertajuk Tinta Permata.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif QAF, Albert Lau, Pengurus Besar Brunei Press Sdn Bhd, Reggie See, Timbalan Pengurus Besar Brunei Press Sdn Bhd, Dayang Hazizah binti Osman dan para jemputan khas lain serta warga Brunei Press Sdn Bhd.

ARTIKEL YANG SAMA