Tanggungjawab kita

Tanggungjawab kita

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Julai – Setiap warga negara ini perlu berperanan dalam mempertahankan identiti keBruneian dalam beragama dan jangan mudah terpengaruh terutama kepada hal sosial kerana Brunei sudah berusia lebih 600 tahun dan melalui banyak cabaran, dan atas kekukuhan agama Islam di negara ini, kita berjaya menghadapi apa jua cabaran dan dugaan yang tiba berlandaskan doa dan tawakal.

Perkara itu ditegaskan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman yang menegaskan agar rakyat Brunei akan terus mengamalkan sikap bersyukur dan terus berdoa akan kurniaan yang berterusan daripada Allah SWT.

Beliau ketika ditemui pada Majlis Rumah terbuka Aidilfitri bagi Orang-Orang Kenamaan tahun 1436H/2015M di Istana Nurul Iman baru-baru ini menegaskan ramai orang berusaha namun tidak semua berhasil kerana semua ini adalah atas pertolongan Allah SWT.

“Justeru sewajarnya kita bersyukur kenikmatan yang dikurniakan dan perlu kita pandai memanfaatkan kurniaan ini supaya ia membawa banyak kelebihan kepada negara, bangsa dan agama,” tegas beliau lagi.

Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin. - Gambar oleh Muiz Matdani
Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin. – Gambar oleh Muiz Matdani
Menteri Kesihatan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Adanan.
Menteri Kesihatan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Adanan.
Menteri Pembangunan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi.
Menteri Pembangunan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi.
Timbalan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan Datin Paduka Hajah Adina binti Othman.
Timbalan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan Datin Paduka Hajah Adina binti Othman.

Sementara itu, pada majlis yang sama, perkara itu dipersetujui oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Mohd Yusof yang turut menegaskan bahawa apa yang kita nikmati ini adalah berkat kerjasama perpaduan serta keharmonian antara semua pihak di negara ini.

“Kita perlu sentiasa berbuat kebajikan dan sentiasa berdoa serta taat kepada Allah SWT selain terus berusaha mempertahankan dan mempertingkatkan produktiviti melalui kelebihan dan kenikmatan yang ada bagi mewujudkan keamanan dan keselamatan negara yang terjamin,” tambah beliau lagi.

Beliau juga menegaskan: “Kita tidak boleh mudah percaya dan terpedaya kepada media sosial kerana ia akan mampu merosakkan perpaduan negara dan apa yang wajar adalah supaya setiap maklumat yang ada untuk dinilai dan diamati sebaik mungkin sebelum diterima dan disebarkan.”

Beliau juga menegaskan kita perlu meyakini konsep negara Melayu Islam Beraja kerana ia landasan yang boleh menjadikan hasrat melahirkan Brunei sebagai sebuah negara zikir suatu kenyataan dan mampu melindungi setiap warga dan isi negara ini daripada anasir negatif.

Sebelum mengakhiri temu bual, Menteri Kesihatan menyeru supaya setiap warga negara ini mengambil peluang menggunakan setiap kelebihan dan peluang yang ada untuk memajukan diri dan negara yang tercinta ini dan terus berbakti untuk kemajuan dan kemaraan bangsa ke wawasan 2035.

Dalam majlis yang sama, Menteri pembangunan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman pula menegaskan tiada negara yang lepas daripada masalah kerana masalah pasti ada sama ada besar atau sebaliknya.

“Apa yang pasti di negara ini kita perlu bersyukur kerana berbanding negara lain, masalah dan cabaran yang kita tempuhi tidaklah sebesar mana dan jika ada pun, ia mampu kita tangani sebaiknya berkat kurnia Allah SWT,” tegas beliau lagi.

“Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Dipertuan Negara Brunei Darussalam kini terus giat memenuhi permintaan dan keperluan orang ramai dan pihak kerajaan akan terus melihat aspek yang berkeperluan dan memainkan peranan serta tanggungjawab masing-masing dalam memastikan setiap cabaran mahupun keperluan ditangani sebaiknya,” tambah beliau lagi.

Menurutnya lagi, warga Brunei Darussalam perlu bekerja lebih keras dan lebih terlibat dalam menjana ekonomi yang tidak hanya bergantung kepada minyak dan gas kerana ada banyak peluang dan ruang untuk memajukan lagi sektor lain di negara ini namun untuk menjayakan hasrat ini katanya memerlukan kita untuk bersatu dan berpadu hati.

Perkara itu dipersetujui oleh Timbalan Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan Datin Paduka Hajah Adina binti Othman yang menegaskan kita sangat bertuah hidup dalam keadaan serba mudah dan dipermudahkan.

“Namun begitu kita tidak boleh mengambil endah tak endah akan masalah dan cabaran kecil sebelum ia menjadi lebih besar dan kita perlu bersyukur akan kenikmatan dan kelebihan yang ada pada negara ini,” kata beliau.

ARTIKEL YANG SAMA