Tanggungjawab mentaati Ulil Amri

Tanggungjawab mentaati Ulil Amri

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Julai – Nikmat besar yang dinikmati di bumi Darussalam bertuah ini ialah apabila dikurniakan seorang raja dan pemimpin yang beriman lagi berdaulat, adil, pemedulian dan bijaksana dalam mentadbir negara serta sentiasa inginkan supaya Amar Makruf Nahi Mungkar menjadi amalan dalam kehidupan rakyatnya.

Salah satu kewajipan umat Islam yang diperintahkan oleh Allah S.W.T ialah mentaati Ulil Amri yang mana Ulil Amri tertinggi di negara ini ialah raja yang dikasihi, sememangnya rakyat dan penduduk negara ini telah mencurahkan ketaatan, kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada Baginda Ulil Amri di negara ini.

Perkara ini dijelaskan oleh Khatib dalam Khutbah Jumaat hari ini dan seterusnya menambah, ketaatan dan kesetiaan kepada Baginda bukan hanya ia kerana satu kewajipan tetapi rasa kasih dan cinta rakyat jelata kepada seorang raja dan pemimpin yang sangat kasih dan mengambil berat akan rakyat Baginda.

“Bukti kasih Baginda itu dapat dilihat di mana Baginda sangat mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan rakyat jelata hingga kita dapat hidup dengan aman dan bahagia di negara yang berdaulat ini,” tegasnya.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam adalah seorang raja yang berjiwa rakyat sehingga sanggup turun padang ke seluruh pelosok rantau menemui rakyat jelata.

Bukan setakat itu, jelas Khatib, Baginda juga sering bercemar duli mengadakan lawatan ke daerah, mukim-mukim dan kampung-kampung, sekolah-sekolah, kementerian dan jabatan kerajaan malah berkenan berangkat meninjau ke tempat berlaku musibah seperti kawasan yang dilanda banjir dan sebagainya.

Di bulan Ramadan ini, sebagai rakyat dan penduduk yang tinggal dan bernaung di bumi Darussalam, merasa beruntung kerana mendapat pemedulian daripada raja yang dikasihi di mana Baginda juga telah bermurah hati mengurniakan kurma kepada setiap umat Islam yang menetap dan tinggal di negara ini tanpa mengira had umur dan kerakyatan.

Selain itu, Baginda juga menganugerahkan Kurnia Peribadi kepada golongan tertentu sempena Hari Raya Aidilfitri di mana Kurnia Peribadi Baginda ini mencerminkan sikap prihatin dan kasih sayang Baginda terhadap rakyat Baginda, sikap Baginda tersebut mengukuhkan lagi perasaan cinta dan taat setia rakyat kepada Baginda.

Baginda Sultan juga sangat mengambil berat terhadap perkembangan agama di negara ini termasuk pendidikan agama dan juga pembelajaran Al-Quran bagi program yang telah dirancang dan dilaksanakan.

Ini membolehkan rakyat dan penduduk beragama Islam di negara ini mendapat pendidikan agama dengan sebaik-baiknya dan mudah untuk memperolehnya di mana ini juga antara langkah bagi mencapai hasrat Baginda untuk menjadikan Brunei Darussalam benar-benar sebuah Negara Zikir yang mendaulatkan hukum dan undang-undang syariat Allah.

Apa yang diharapkan ialah semoga dengan usaha tersebut, kita akan menjadi umat Islam beriman dan bertakwa seterusnya beroleh kejayaan dan kebahagiaan hidup yang hakiki dan ini juga sebenar bukti betapa Baginda yang sangat mengasihi rakyat Baginda.

“Baginda mahukan rakyat Baginda berjaya bukan sahaja untuk kehidupan di dunia tetapi juga di akhirat kelak dan kita juga bersyukur kerana raja yang memerintah negara ini adalah seorang Raja, seorang pemimpin yang sangat kasihkan rakyatnya dan sewajarnya kita merafakkan doa kepada Baginda,” tegas Khatib.

Inilah juga cara kita bersyukur kepada Allah kerana mengurniakan seorang raja yang bersikap pengasih dan pemedulian kepada rakyat Baginda dan inilah juga antara jalan menyampaikan terima kasih dan menzahirkan rasa cinta kepada raja yang kita kasihi.

Sehubungan itu, marilah kita sama-sama mendoakan supaya Baginda berada dalam kesejahteraan, keselamatan dan kebahagiaan seterusnya dapat memimpin rakyat dan negara ini di bawah inayah dan petunjuk dari Allah.

Khatib dalam Khutbahnya juga turut mengingatkan dalam menyambut Aidilfitri yang akan menjelang nanti, supaya berpandukan kepada apa yang dianjurkan oleh Islam di mana dituntut menyambutnya secara sederhana, mengelakkan pembaziran, tidak mengikut budaya dan cara yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Selain itu, Khatib turut mengingatkan jangan lupa dan lalai untuk membayar zakat fitrah, sesungguhnya zakat fitrah adalah salah satu rukun Islam yang wajib ditunaikan setiap tahun di bulan Ramadan.

ARTIKEL YANG SAMA