Tangkapan pertama kes pembunuhan pekerja Itali

Tangkapan pertama kes pembunuhan pekerja Itali

DHAKA, 26 Okt (AFP) – Bangladesh mengumumkan penangkapan pertama hari ini berhubung pembunuhan seorang pekerja bantuan warga Itali ketika kerajaan menegaskan saingan politiknya dan bukannya kumpulan Kerajaan Islam (IS) yang menjadi dalang di sebalik siri-siri serangan maut.

Polis memperlihatkan empat orang yang ditahan berhubung pembunuhan Cesare Tavella, 50 tahun bulan lalu, berserta dengan sebuah motosikal ang dikatakan digunakan sebagai kenderaan pelarian dalam penembakan lewat bulan lalu di Dhaka.

Pembunuhan berhampiran zon diplomatik bandar itu adalah yang pertama dari siri-siri serangan yang didakwa dilakukan oleh kumpulan IS dan diikuti beberapa hari kemudian dengan penembakan mati seorang petani warga Jepun di utara Bangladesh.

Pengeboman pada hujung minggu lalu di tempat suci utama Syiah di Dhaka, yang mengorbankan seorang dan mencedera berbelas-belas lagi, seterusnya meningkatkan kebimbangan para minoriti yang tinggal di negara yang rasminya adalah negara sekular tetapi penduduknya terutamanya penganut Islam.

Namun meskipun IS mengaku melakukan serangan itu, kerajaan memberi respons semalam dengan menafikan kumpulan ekstremis itu aktif di Bangladesh dan sebaliknya menangkap berbelas-belas penentang Perdana Menteri Sheikh Hasina.

Polis Bangladesh mengiringi 4 suspek selepas tangkapan mereka atas dakwaan pembunuhan warga Itali Cesare Tavella di Dhaka hari ini. – AFP
Polis Bangladesh mengiringi 4 suspek selepas tangkapan mereka atas dakwaan pembunuhan warga Itali Cesare Tavella di Dhaka hari ini. – AFP

“Kami mahu menyatakan dengan jelas bahawa pertubuhan IS tidak wujud di Bangladesh,” Menteri Dalam Negeri Asaduzzaman Khan Kamal memberitahu para pemberita semalam.

Bercakap selepas empat orang tersangka diperlihatkan kepada pihak media hari ini, polis Dhaka mengatakan mereka kesemua telah mengakui membunuh Tavella atas ‘arahan orang yang dipanggil abang yang menawarkan mereka wang.”

“Mereka melakukan pembunuhan itu untuk mengaibkan kerajaan, supaya kerajaan tertekan dan untuk menimbulkan kekacauan,” pesuruhjaya polis Dhaka Asaduzzaman Mia memberitahu para pemberita dalam sidang media.

Polis menyifatkan dua tersangka itu penagih dadah yang mempunyai sabitan jenayah lalu manakala seorang lagi penjual dadah dan tersangka keempat adalah ‘pembunuh kejam’.

Bagaimanapun mereka tidak mengulas lebih lanjut tentang identiti ‘abang’ itu yang dikatakan telah mengarahkan pembunuhan Tavella yang bekerja bagi badan amal Belanda yang berasaskan kepercayaan.