TAP, AMBD, muzium umum perubahan waktu khidmat

TAP, AMBD, muzium umum perubahan waktu khidmat

Oleh Siti Nur Wasimah S. & Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Jun – Tabung Amanah Pekerja (TAP) memaklumkan bahawa waktu perkhidmatan-perkhidmatan TAP sepanjang bulan Ramadan di kesemua cawangan akan ditutup lebih awal.

Menurut kenyataan TAP, perkhidmatan pembayaran akan dibuka dari pukul 8.15 pagi sehingga 12.30 tengah hari, perkhidmatan pertanyaan dan pendaftaran 8.15 pagi sehingga 1 petang, dan Pusat Panggilan TAP dari 8.15 pagi sehingga 2 petang, yang mana kesemua waktu perkhidmatan ini adalah bagi hari Isnin sehingga Khamis dan Sabtu.

Sementara itu, pada hari Jumaat pula, kesemua perkhidmatan akan bermula jam 8.15 sehingga 11 pagi di Ibu Pejabat TAP sahaja.

Pembayaran juga boleh dibuat melalui laman sesawang TAP di www.tap.com.bn bagi majikan dan ahli yang telah mendaftar sebagai pengguna e-Amanah.

TAP juga mengingatkan para majikan bahawa pembayaran caruman TAP dan SCP hendaklah dibuat sebelum 15 haribulan bagi mengelakkan dari dikenakan sebarang denda.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Panggilan TAP di talian 2382800.

Dalam pada itu Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) juga memaklumkan bahawa waktu perkhidmatan bagi Kaunter Perkhidmatan Biro Kredit bertempat di Dar Takaful IBB Utama dipendekkan iaitu dari jam 8.30 pagi hingga 2.30 petang pada hari Isnin hingga Khamis dan dari jam 8.15 pagi hingga 11.15 pagi pada hari Jumaat. Manakala pada hari Sabtu, Ahad dan cuti awam adalah ditutup.

Untuk maklumat lanjut, sila layari http://www.ambd.gov.bn/birokredit.

Dalam perkembangan yang sama, Jabatan Muzium-Muzium, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan memaklumkan bahawa galeri-galeri pamerannya akan ditutup lebih awal.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, galeri dibuka setiap hari Sabtu sehingga Khamis dari jam 9 pagi sehingga 3 petang, manakala hari Jumaat akan dibuka pada jam 9 pagi sehingga 12 tengah hari.

Galeri pameran hanya ditutup pada hari pertama Ramadan sahaja dan waktu-waktu lawatan yang ditetapkan ini adalah bagi Bangunan Alat kebesaran Diraja, Muzium Teknologi Melayu, Galeri Seni dan taman Warisan Tasek Merimbun.

Sementara itu, Muzium Brunei masih ditutup bagi kunjungan orang ramai ekoran kerja-kerja pemeliharaan bangunan yang kini giat dijalankan.

ARTIKEL YANG SAMA