TAP buat lawatan mengejut

TAP buat lawatan mengejut

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Dis – Dalam memastikan kesejahteraan ahli-ahli Tabung Amanah Pekerja (TAP) sentiasa terjamin, TAP melalui Jabatan Penguatkuasaan telah meneruskan lagi siri lawatan mengejut bagi kali kedua dalam bulan ini ke premis-premis perniagaan di sekitar kawasan Kampung Kiarong, hari ini.

Menurut kenyataan TAP, tujuan lawatan ini adalah bagi memastikan bahawa pekerja-pekerja tempatan didaftarkan dan dicarumkan dalam skim TAP dan SCP.

Daripada sebanyak 29 buah premis majikan yang dilawati, didapati seramai 10 orang pekerja belum berdaftar dengan skim TAP dan SCP.

Majikan yang gagal menunjukkan dokumen-dokumen yang diperlukan juga telah diarahkan untuk membuat perjumpaan ke pejabat TAP bagi tindakan lanjut seperti proses pendaftaran pekerja serta proses pembayaran caruman yang tertunggak.

Dalam kesempatan ini TAP memaklumkan bahawa pekerja yang terdiri daripada rakyat dan penduduk tetap negara ini adalah wajib didaftarkan ke TAP dan dicarumkan ke dalam skim TAP dan SCP setiap bulan. Aduan boleh dibuat dengan mengunjungi mana-mana cawangan TAP yang berdekatan, atau menghubungi Pusat Panggilan TAP di talian 2382800.

ARTIKEL YANG SAMA