TAP mulai siri jerayawara

TAP mulai siri jerayawara

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Jan – Tabung Amanah Pekerja (TAP) telah memulakan siri jerayawaranya bagi para majikan di Dewan Kemasyarakatan Kampung Pandan, Kuala Belait, hari ini.

Antara aktiviti yang diadakan ialah taklimat mengenai Akta TAP dan Perintah SCP, tatacara dan kaedah pendaftaran dan pembayaran caruman pekerja, serta kemudahan perkhidmatan online e-Amanah.

Menurut kenyataan TAP, dalam jerayawara itu, Penolong Pengurus dari Unit Penguatkuasaan TAP, Dayangku Siti Nurhalimatul Sa’adiah telah menerangkan mengenai tanggungjawab majikan untuk mendaftarkan dan membayar caruman TAP dan SCP pekerja-pekerja mereka yang memenuhi pensyaratan.

Pekerja yang terdiri daripada rakyat dan penduduk tetap Negara Brunei Darussalam diwajibkan untuk berdaftar dan dicarumkan ke TAP sekiranya mereka berumur di bawah 55 tahun, dan SCP, sekiranya mereka berumur di bawah 60 tahun, ini termasuk pekerja kontrak, bergaji hari ataupun pekerja sementara.

Di samping itu, beliau juga menerangkan mengenai kesalahan-kesalahan di bawah Akta TAP dan Perintah SCP.

TAP mengadakan jerayawara bagi perkhidmatan online e-Amanah untuk para majikan di keempat-empat daerah.
TAP mengadakan jerayawara bagi perkhidmatan online e-Amanah untuk para majikan di keempat-empat daerah.

Menurutnya, menjadi kesalahan bagi majikan yang gagal mendaftarkan dan membayar caruman TAP dan SCP pekerja mereka. Sekiranya sabit kesalahan, majikan boleh didenda tidak lebih daripada $3,000 bagi kesalahan pertama dan $10,000 bagi kesalahan kedua dan seterusnya.

Acara diteruskan dengan taklimat tatacara pembayaran caruman TAP dan SCP yang disampaikan oleh, Pemangku Pengurus Kanan, Jabatan Perkhidmatan Pelanggan TAP, Hajah Raeidyah binti Haji Bujang.

Beliau menerangkan mengenai kaedah pengiraan satu jumlah pembayaran caruman bagi TAP dan SCP yang disediakan oleh TAP untuk kemudahan majikan.

Selain itu, Beliau juga menerangkan mengenai borang-borang pembayaran yang ada dalam bentuk pra-cetak; secara automasi dengan menggunakan aplikasi yang disediakan oleh TAP; dan menggunakan templat tersedia melalui e-Amanah.

Taklimat mengenai perkhidmatan online e-Amanah pula telah disampaikan oleh Penolong Pengurus dari Unit Cawangan, Dayang Hasyimah Zawanah binti Haji Hashim.

Perkhidmatan e-Amanah memudahkan majikan menguruskan hal ehwal pendaftaran dan caruman pekerja-pekerja mereka secara online tanpa perlu mengunjungi kaunter-kaunter TAP. Ini adalah selaras dengan usaha TAP dalam memberikan perkhidmatan yang efisien, efektif dan mudah kepada majikan.

Melalui e-Amanah juga, majikan boleh membuat pembayaran caruman, mengemaskini butir-butir pekerja, dan membuat perjanjian bersama TAP secara online tanpa perlu mengunjungi kaunter-kaunter TAP.

Selain sesi taklimat, petak e-Amanah juga disediakan untuk membolehkan majikan melihat lebih dekat lagi kemudahan menggunakan perkhidmatan online ini.

Jerayawara ini akan diteruskan lagi ke Daerah Tutong pada 20 Januari, Daerah Brunei dan Muara pada 25 dan 26 Januari, kemudian Daerah Temburong pada 27 Januari 2016.

Majikan-majikan yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai jerayawara ini boleh menghubungi Pusat Panggilan TAP di talian 2382800 semasa waktu bekerja.

ARTIKEL YANG SAMA