Tapak cuci kereta untuk rakan seliaan

Tapak cuci kereta untuk rakan seliaan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Jun – Bagi memberikan peluang pekerjaan kepada rakan seliaan yang belum bekerja, Sumbangsih Mulia dengan kerjasama Jabatan Penjara, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri melalui Perkhidmatan Kaunseling dan Seliaan telah menyediakan tempat khidmat cuci kereta di Bangunan Sumbangsih Mulia.

Sehubungan itu, Majlis Peras-mian dan Penandatanganan Khidmat Cuci Kereta Sumbangsih Mulia Rakan Seliaan berkenaan telah diadakan kelmarin di bangunan berkenaan.

Dengan sumbangan pihak Sumbangsih Mulia yang memberikan kebenaran kepada perlaksanaan projek tersebut di kawasan Sumbangsih Mulia serta menyediakan tempat dan peralatan, projek berkenaan dapat direalisasikan.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pengerusi GHK Sdn Bhd, Pengiran Dato Sharifuddin bin Pengiran Haji Matali. Turut hadir, Pemangku Pengarah Jabatan Penjara, Haji Ismail bin Haji Murat.

Pada majlis itu, menandatangani perjanjian bagi pihak Sumbangsih Mulia ialah pengurusnya, Haji Manshor bin Haji Mohd Yassin, dan Perkhidmatan Kaunseling dan Seliaan Jabatan Penjara diwakili oleh Pegawai Seliaan 1, Ketua Pegawai Penjara Awang Kadir Abdul Malik bin Hassan, manakala itu, Pengurus Khidmat Cuci Kereta Sumbangsih Mulia, diwakili oleh Rakan Seliaan Awang Mohd Isham bin Abu Bakar.

Sesi bergambar ramai selepas upacara perasmian khidmat cuci kereta berkenaan.
Sesi bergambar ramai selepas upacara perasmian khidmat cuci kereta berkenaan.

Majlis diteruskan lagi dengan penyampaian sijil perjanjian Khidmat Cuci Kereta oleh tetamu kehormat kepada Awang Mohd Isham serta penyampaian cenderahati kepada tetamu kehormat yang telah disampaikan oleh Pemangku Pengarah Penjara.

Pengiran Dato Sharifuddin dalam ucapan alu-aluannya antara lain telah menekankan mengenai peluang-peluang yang ada di Negara Brunei Darussalam yang masih banyak dan beliau mendorong anak-anak tempatan untuk merebut peluang tersebut.

Projek Khidmat Cuci Kereta tersebut, menurut beliau, adalah salah satu contoh yang dapat diadakan dan ia boleh diadakan di kebanyakan tempat.

Pengiran Dato Sharifuddin juga menekankan agar kebersihan perlu diutamakan dalam projek tersebut agar tidak ada masalah-masalah yang tidak diinginkan berlaku.

Kemudian, tetamu kehormat dan para hadirin beredar ke tapak khidmat cuci kereta berkenaan bagi majlis perasmiannya.

Projek berkenaan merupakan susulan serta lanjutan kepada kerjasama dan persefahaman yang telah dibuat bersama pihak berkenaan yang telah menjadi rakan strategik dalam program tersebut yang juga telah memberikan sumbangan berkaitan dengan perkhidmatan cuci kereta.

Antara lain tujuan dan matlamat projek tersebut ialah bagi membentuk rakan seliaan berketerampilan dan berkeyakinan tinggi dalam semua aspek di samping membentuk sahsiah diri, sifat kepimpinan serta cara pengurusan yang efektif.

Di samping itu, untuk melahirkan rakan seliaan yang bertanggungjawab kepada diri serta keluarga, bangsa, agama dan negara, serta melahirkan rakan seliaan untuk mempunyai kemahiran nilai, sikap, etika dan profesionalisme, menunjukkan tingkah laku profesional sesuai dengan etika kerja dalam melaksanakan tanggungjawab dengan integriti dan amanah dan menunjukkan sikap yang sangat baik.

 

ARTIKEL YANG SAMA