Tapak penganiayaan Rohingya dimusnahkan

BANGKOK, 23 Feb – Gambar satelit baharu di negeri Rakhine Myanmar menunjukkan negara itu menggunakan jentolak untuk memusnahkan puluhan kampung Rohingya Muslim yang dibakar semasa keganasan tahun lalu.

Kumpulan hak asasi manusia mengatakan pihak berkuasa memusnahkan ‘tapak jenayah’ yang mengandungi bukti kekejaman yang dilakukan oleh pasukan keselamatan negara, yang dituduh melakukan pembunuhan beramai-ramai dan penganiyaan secara meluas.

Operasi itu telah mengecewakan Rohingya, yang percaya kerajaan dengan sengaja memusnahkan budaya mereka untuk menghentikan penghantaran pulang mereka.

Imej satelit dari DigitalGlobe menunjukkan sekurang-kurangnya 28 buah kampung atau dusun dimusnahkan oleh jentolak dan jentera lain dalam radius sejauh 30 kilometer di sekitar Maungdaw antara Disember dan Februari.

Analisis serupa juga diberikan oleh Pemerhati Hak Asasi Manusia hari ini, di mana ia berkata sekurang-kurangnya 55 buah kampung telah terjejas setakat ini. – AP

IMEJ satelit menunjukkan pihak berkuasa Myanmar memusnahkan sekurang-kurangnya 55 perkampungan Rohingya di utara Rakhine sejak beberapa bulan lalu. – AFP