Tapak warisan negara jadi tumpuan di BMF

Tapak warisan negara jadi tumpuan di BMF

Oleh Normazlina M.D

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Nov – Warisan dan arkitektur negara menjadi tumpuan lima orang panel hari ini dalam kesinambungan pembentangan Forum Brunei Malaysia (BMF) 2016 yang berlangsung di Bilik Senat, Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam (UBD).

Pensyarah di Jabatan Geografi dan Pengajian Alam Sekitar UBD, Awang Shafi Noor Islam menekankan potensi Kampong Ayer yang boleh diisytiharkan sebagai Tapak Warisan Budaya Dunia kerana ia mempunyai bangunan tradisional, bentuk perumahan lama dan moden, lokasi geografi dan aktiviti kebudayaan serta alam semula jadinya yang merupakan antara kriteria pemilihan bagi Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).

Dalam pembentangan bertajuk “Kepentingan Kampong Ayer Sebagai Tapak Warisan Budaya UNESCO di Brunei Darussalam,” beliau turut menjelaskan Kampong Ayer sendiri sudah pun dianggap sebagai tapak warisan budaya di negara ini, untuk itu kajian mengenai kepentingan budaya, warisan dan gaya hidup masyarakat Kampong Ayer perlu dijalankan untuk memenuhi rangka garis panduan kriteria pemilihan Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Manakala pensyarah dari Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya, Shahreen Mat Nayan telah membincangkan mengenai ‘Meneroka Retorik Baru Melalui Warisan Budaya Dan Penglibatan Masyarakat-Universiti’ yang menekankan bahawa masyarakat yang menghargai warisan akan terus menjaga warisan itu.

Awang Shafi Noor Islam semasa menyampaikan Forum Brunei Malaysia 2016 bertajuk ‘Kepentingan Kampong Ayer Sebagai Tapak Warisan Budaya UNESCO di Brunei Darussalam’, kelmarin.
Awang Shafi Noor Islam semasa menyampaikan Forum Brunei Malaysia 2016 bertajuk ‘Kepentingan Kampong Ayer Sebagai Tapak Warisan Budaya UNESCO di Brunei Darussalam’, kelmarin.
Antara yang menghadiri BMF di Bilik Senat, Dewan Canselor, UBD.
Antara yang menghadiri BMF di Bilik Senat, Dewan Canselor, UBD.

Sementara Dayang Nurul Hafizah binti Haji Alias dari Fakulti Sastera dan Sains Sosial (FASS), UBD dengan tajuk forumnya ‘The Mobile Landscape: Sultan Omar ‘Ali Saifuddien (SOAS) Mosque’ yang mana menjelaskan mengenai makna simbolik Masjid SOAS berdasarkan masyarakat dan tempat.

Bagi Awang Khairul Hazmi Zaini yang berpengalaman dalam industri pembinaan, beliau menyampaikan forumnya bertajuk ‘Conceptualizing Monumentality: A Look Into the Development of Mosques in Brunei Darussalam’ yang menjelaskan mengenai seni bina unik masjid-masjid di negara ini.

Manakala panel terakhir dari FASS, UBD, Awang Muhammad Nuriskandar bin Mohd Hasnan telah membincangkan mengenai ‘Bagaimana Inovatif Seni Bina Avant-Garde Boleh Mempengaruhi Masa Depan, Budaya dan Perkembangan Brunei.’

ARTIKEL YANG SAMA