Tarian Brunei sebagai warisan

Tarian Brunei sebagai warisan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Mac – Seni tarian masyarakat Brunei terus diberikan perhatian dan diketengahkan bagi generasi baru supaya ia dapat terus dihayati, dipelajari dan diwarisi supaya tidak pupus ditelan zaman.

Sehubungan dengan itu, Jabatan Pendidikan Kokurikulum (JPKK), Kementerian Pendidikan hari ini, mengendalikan Bengkel Tarian Asli Sekolah Rendah dan Tarian Etnik Sekolah Menengah, Maktab-maktab dan Pusat Tingkatan Enam di mana majlis penutup dan penyampaian sijil penyertaan bengkel diadakan di Dewan Silaturahim, Pusat Belia, di sini.

Bengkel selama dua hari itu disertai oleh guru-guru sekolah rendah, menengah, maktab dan pusat tingkatan enam di mana sijil penyertaan dan cenderahati bagi fasilitator bengkel disampaikan oleh Pemangku Penolong Pengarah JPKK, Pengiran Hajah Norhani binti Pengiran Haji Ismail.

Terdahulu, Ketua Unit Akli, Hajah Hajidah binti Haji Abdul Wahab dalam kata alu-aluannya menyatakan bahawa pertandingan tarian sudah dilaksanakan oleh Unit Akli sejak 32 tahun lalu dan pada 10 tahun kebelakangan ini, ia telah dilanjutkan lagi ke peringkat sekolah menengah dan pra-universiti.

Beliau berkata bahawa pertandingan bermula dengan hanya menumpukan kepada tarian-tarian Brunei asli dengan mengekalkan keaslian pada setiap tarian, tetapi bagi 2016, pihak Unit Akli telah membuat perubahan di mana pertandingan bagi tarian Brunei asli hanya tertumpu pada sekolah rendah sahaja, manakala bagi sekolah menengah, ia akan mengetengahkan tarian etnik Brunei untuk para pelajar mengetahui serta mempelajarinya.

Pengiran Hajah Norhani bergambar ramai bersama para peserta bengkel, fasilitator dan jemputan lainnya pada majlis itu.
Pengiran Hajah Norhani bergambar ramai bersama para peserta bengkel, fasilitator dan jemputan lainnya pada majlis itu.
Persembahan tarian daripada para fasilitator.
Persembahan tarian daripada para fasilitator.

“Perubahan ini merupakan satu cabaran untuk sekolah-sekolah kerana dimaklumi tarian-tarian etnik Brunei belum begitu diketahui ramai.

“Sehubungan itulah, maka pihak Unit Akli telah mengusahakan pengendalian bengkel tarian ini dengan tujuan agar gerak tari, tarian-tarian tersebut dapat dipelajari oleh para guru pembimbing dan menimba ilmu dan pengalaman sebelum mereka memindah dan mengajarkan ilmu dan kepandaian yang mereka peroleh kepada para pelajar.”

Bengkel tersebut dihasratkan untuk mencungkil bakat pelajar-pelajar dalam bidang seni budaya atau kebudayaan khususnya dalam seni tarian Brunei asli dan mendorong mereka untuk mempelajari dan menghayati seni tari orang Brunei yang diwarisi turun-temurun oleh anak-anak Brunei sendiri dengan berkonsepkan falsafah Melayu Islam Beraja.

Ia juga dihasratkan untuk melahirkan masyarakat yang berdisiplin, bermaruah, bersopan-santun dengan mengikut tatasusila orang-orang Brunei, patuh serta yakin pada diri sendiri atau kumpulan, baik semasa latihan atau pertandingan.

Ia juga diharap dapat membantu guru-guru membentuk pelajar-pelajar mereka supaya akan mempraktikkan budaya orang-orang Brunei yang asli dan bukan untuk mengikut-ikut budaya orang lain atau budaya orang Barat.

ARTIKEL YANG SAMA