Tarian Singa negara terima jemputan ke Indonesia

Tarian Singa negara terima jemputan ke Indonesia

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 6 Okt – Kumpulan Persembahan Tarian Singa dan Naga Sekolah Chung Hwa Sungai Liang akan bertolak ke Indonesia Sabtu ini, setelah menerima undangan menyertai Kejohanan  Tarian Singa dan Naga Dunia yang akan berlangsung di Tanah Impian Ancol Jakarta, Indonesia.

Sebelum keberangkatan itu, Majlis Kesyukuran Menghiasi dan Membuka Mata Singa/Naga yang akan dipertandingkan telah berlangsung di kawasan gelanggang bola keranjang sekolah tersebut malam tadi. Hadir menyempurnakan majlis tersebut yang juga merupakan acara tradisi masyarakat Cina ialah Pengerusi Tetap Kehormat Sekolah Chung Hwa Sungai Liang, Voon Chin Loi, yang juga telah menyempurnakan penyerahan bendera kepada Pengerusi Lembaga Pengarah sekolah itu, Chai Tze Yun.

Turut hadir ialah Naib Pengerusi Pertama dan Kedua, Jong Jee Leong dan Bui Quat Yee.

Mengikut tradisi masyarakat tersebut, sebelum naga atau singa digunakan dalam setiap persembahan, acara ‘menghiasi dan membuka mata dan kesyukuran’ perlu dilakukan terlebih dahulu.

Penyempurnaan acara tersebut mesti dilakukan oleh mereka yang berjawatan tinggi, yang mana ia akan dimulakan daripada bahagian mata, kemudian mulut, seterusnya ke bahagian telinga dan tanduk, diikuti ke keseluruhan badan bermula daripada bahagian belakang hingga ke hujung ekor.

Gambar ramai Kumpulan Tarian Naga dan Singa Sekolah Chung Hwa Sungai Liang bersama Pengerusi Tetap Kehormat Sekolah Chung Hwa Sungai Liang.
Gambar ramai Kumpulan Tarian Naga dan Singa Sekolah Chung Hwa Sungai Liang bersama Pengerusi Tetap Kehormat Sekolah Chung Hwa Sungai Liang.

Sejurus selepas itu, majlis diteruskan dengan acara ‘kesyukuran membangunkan naga atau singa,’ diikuti mengikat reben merah di sekeliling tanduk sebagai simbol keberanian dan penghormatan.

Reben itu sebagai mengingatkan singa atau naga melakukan persembahan yang terbaik.

Kejohanan Tarian Naga dan Singa Dunia yang bermula hari ini sehingga 12 Oktober dan dianjurkan oleh Persatuan Liong dan Barongsai Seluruh Indonesia (PLBSI), antara lain bertujuan untuk meningkatkan sukan tarian naga dan singa, selain untuk meningkatkan keseniannya serta mengeratkan hubungan dengan peserta di samping sebagai pertukaran budaya di seluruh dunia.

Tarian Naga dan Singa yang berasal dari China, merupakan aktiviti tradisi masyarakat Cina, dan ia juga merupakan simbol kejayaan dan kebahagiaan yang terutamanya diadakan semasa musim perayaan. Di samping itu, ia turut menceriakan suasana perayaan tertentu seperti Tahun Baru Cina dan sebagainya.

Hari ini, persembahan tarian Singa dan Naga sudah dikenali di seluruh dunia, selain menjadi sukan kegemaran bukan saja dalam kalangan masyarakat Cina malahan juga masyarakat antarabangsa di dunia.

Persekutuan Tarian Naga dan Singa Indonesia telah terlibat aktif dalam permainan TAFISA Dunia ke-6 dengan disokong oleh Persekutuan Tarian Naga dan Singa Asia.

Ia juga bertujuan untuk mempromosikannya sebagai sukan dunia dan akan dihasratkan untuk meningkatkan persahabatan dengan negara-negara peserta, yang mana sebanyak 25 buah negara di seluruh dunia dijangka menyertai kejohanan itu.

ARTIKEL YANG SAMA