Tarik Kalat Tradisi bakal meriahkan Hari Keputeraan

Tarik Kalat Tradisi bakal meriahkan Hari Keputeraan

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Ogos – Persatuan Tarik Kalat Tradisi sempena Sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-pertuan Negara Brunei Darussalam ke-69 mengadakan sesi perjumpaan bersama pengurus pasukan di Jabatan Daerah Brunei dan Muara, Lapangan Terbang Lama, Berakas.

Sesi perjumpaan hari ini membincangkan tentang persiapan kejohanan yang akan berlangsung pada 16 Ogos di Taman Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Bandar Seri Begawan. Kejohanan tarik kalat tradisi akan dipertandingkan dalam tiga kategori iaitu, kategori “A” (berat badan 70kg individu), kategori “B” (berat badan terkumpul 1,100kg bagi 10 penarik) dan kategori “C” (remaja berat badan terkumpul 600kg bawah 19 tahun).

Kejohanan yang akan disertai 14 pasukan peringkat Daerah Brunei dan Muara tidak akan menjemput pasukan dari luar daerah, dan tujuan kejohanan adalah untuk memeriahkan lagi acara Hari Keputeraan KDYMM yang ke-69.

Kejohanan ini merupakan anjuran berterusan Pihak Jawatankuasa Kebangsaan dan pihak Persatuan Tarik Kalat Negara Brunei Darussalam dengan mesyuarat hari ini dipengerusikan oleh Pengiran Haji Mohd Jadid bin Pengiran

Haji Omar Ali, yang juga Ketua Pengerusi Tarik Kalat Kebangsaan bersama Setiausaha Bersama Persatuan, Pengiran Haji Bakar bin Pengiran Haji Sulaiman dan Pengiran Haji Iskandar Shah bin Pengiran Haji Jadid.