Tarik lebih banyak FDI

Tarik lebih banyak FDI

KUALA LUMPUR, 21 Mac (Bernama) – Komitmen pelaburan sebanyak AS$2 bilion (AS$1= RM4.07) daripada China Railway Group Ltd (CREC) di Bandar Malaysia, akan membawa kepada lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI) ke dalam negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sebagai syarikat multinasional utama, keyakinan CREC terhadap Bandar Malaysia sebagai pelaburan yang berharga, mendasari keyakinannya kepada ekonomi Malaysia.

Najib berkata CREC bertindak sebagai penggerak pertama yang mengagumkan di Bandar Malaysia dengan komitmen AS$2 bilion yang akan menarik syarikat antarabangsa lain, ramai daripada mereka sudah menyatakan minat terhadap pembangunan berkenaan.

“Kami yakin perkembangan ini akan membawa sejumlah besar pelaburan asing ke Malaysia, bermula dari pelaburan ini AS$2 bilion oleh CREC, yang sendiri komited untuk membawa lebih banyak pelaburan ke Bandar Malaysia,” kata Najib sebelum menandatangani plak menandakan komitmen CREC untuk mempunyai pejabat serantau di Bandar Malaysia di sini.

Datuk Seri Najib Tun Razak menunjukkan lakaran Bandar Malaysia semasa melihat pameran setibanya pada majlis Pengumuman Penempatan Ibu Pejabat Serantau Asia Pasifik China Railway Engineering Corporation (CREC) di Bandar Malaysia hari ini. – Bernama
Datuk Seri Najib Tun Razak menunjukkan lakaran Bandar Malaysia semasa melihat pameran setibanya pada majlis Pengumuman Penempatan Ibu Pejabat Serantau Asia Pasifik China Railway Engineering Corporation (CREC) di Bandar Malaysia hari ini. – Bernama

CREC Presiden Zhang Zongyan sebelum ini mengumumkan syarikat itu akan melabur AS$2 bilion untuk membina pusat serantaunya di Bandar Malaysia.

CREC merupakan antara firma kejuruteraan dan pembinaan terbesar di dunia, dan juga mempunyai perniagaan, antara lain, dalam industri pembuatan, pembangunan hartanah, dan sumber-sumber dan produk mineral.

Setakat 2015, syarikat itu berada pada kedudukan ke-71 dalam Fortune 500, dengan perolehan melebihi AS$100 bilion setahun.

“Syarikat seperti CREC bergerak pantas, jadi kita perlu bertindak balas seiring,” kata Najib.

ARTIKEL YANG SAMA