Tarik lebih banyak negara bangunkan sektor tenaga

Tarik lebih banyak negara bangunkan sektor tenaga

ASTANA (Kazakhstan), 24 Feb (Bernama) – Kazakhstan mahu membantu masyarakat global mengurangkan pergantungan ke atas penggunaan tenaga yang tidak boleh diperbaharui seperti minyak dan gas, untuk kebaikan masa depan.

Timbalan Menteri luar Kazakhstan Rapil Zhoshybayev berkata, komitmen ini amat sesuai dengan kejatuhan harga minyak mentah yang telah menjejaskan pendapatan banyak negara pengeluar ‘emas hitam’.

“Kami telah melihat aliran penurunan minyak dan gas, jadi, supaya tidak terlalu bergantung kepada tenaga jenis ini, banyak negara telah beralih kepada tenaga alternatif,” katanya kepada media Malaysia sempena Mesyuarat Peserta Antarabangsa Ke-2 untuk EXPO 2017 di sini Rabu.

Bertemakan, “Tenaga Masa Depan” ekspo selama tiga bulan mulai 10 Jun itu bertujuan untuk menarik peserta daripada 100 buah negara dan 10 organisasi antarabangsa.

Sepanjang tempoh tersebut, peserta diharap dapat menunjukkan pencapaian dan prospek mereka bagi penggunaan tenaga boleh diperbaharui yang rendah, menjimatkan serta mampu dicontohi.

Zhoshybayev berkata walaupun Kazakhstan merupakan pengeluar minyak kedua terbesar di antara negara-negara bekas Soviet selepas Russia, ia mahu menyediakan satu platform terbaik untuk negara-negara lain mempamerkan teknologi dan inovasi dalam sektor tenaga boleh diperbaharui mereka.

Katanya, banyak negara telah pun menggunakan teknologi seperti ini, antaranya, Belgium yang mahu mencapai penggunaan 100 peratus tenaga boleh diperbaharui menjelang 2050, serta negara kepulauan kecil yang sudah membangunkan solar dan tenaga angin bagi mengurangkan kebergantungan mereka terhadap minyak, arang batu dan gas.

“Kesemua ini membuktikan bahawa masyarakat antarabangsa mempunyai minat dalam memajukan teknologi tenaga boleh baharu mereka dan kami berharap ramai yang akan datang ke ekspo ini pada tahun depan,” kata Zhoshybayev yang juga Pesuruhjaya untuk Pameran Khusus Antarabangsa EXPO 2017.

Beliau berharap para peserta akan berkongsi pengalaman dan pengetahuan dalam penggunaan bahan api nuklear sebagai bahan tenaga yang selamat.

“Ini seiring dengan inisiatif-inisiatif yang diambil oleh Presiden Kazakhstan, Nursultan Nazarbayev untuk pembubaran penggunaan tenaga nuklear dalam persenjataan serta mengutuk mana-mana ujian senjata nuklear.

ARTIKEL YANG SAMA