Tarik minat anak muda terhadap sukan tenis

Tarik minat anak muda terhadap sukan tenis

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

BANDAR SERI BEGAWAN,  22 April – Dalam usaha untuk menonjolkan bakat-bakat sukan dalam diri para pelajarnya, Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS) hari ini menganjurkan Karnival Persediaan Mini Tenis bagi murid-murid peringkat Penerimaan (prasekolah), Tahun 1 dan Tahun 2 yang berumur antara empat hingga tujuh tahun, di gelanggang Tenis sekolah itu.

Kira-kira 180 orang murid sekolah tersebut menyertai klinik tenis yang bertema Wimbledon itu sejak pukul 7:30 pagi lagi sambil ditemani oleh ibu bapa masing-masing.

Ketua Sukan Tenis JIS,  Vanda Zebrakova ketika ditemui berkata, karnival mini tenis itu menyasarkan kepada para murid peringkat rendah bagi mewujudkan rasa minat terhadap sukan itu dan membiasakan diri mereka dengan kemahiran-kemahiran yang perlu mereka asah sebagai persiapan awal menceburi sukan kompetitif itu.

“Kami menyediakan lapan latihan kemahiran bermain mini tenis supaya para murid dapat merasakan sedikit pengalaman bermain tenis, antaranya latihan kemahiran mini tenis, koordinasi, membaling sopan basah ke dalam gelung dinding, kemahiran memukul, volley, servis, latihan rintangan dan menangkap bola yang tinggi serta latihan ketangkasan yang mana setiap kumpulan akan diberi tempoh tujuh minit untuk mencuba setiap latihan,” katanya yang juga merupakan tenaga pengajar JIS.

Salah satu aktiviti yang dijalankan oleh murid-murid.
Salah satu aktiviti yang dijalankan oleh murid-murid.

Beliau menjelaskan, setiap murid dalam peringkat umur itu diberi peluang untuk mencuba setiap latihan yang disediakan dalam suasana bersuka ria bersama rakan dan ibu bapa masing-masing.

Ditanya matlamat untuk dicapai daripada karnival itu, Zebrakova berkata, pihak JIS berharap setelah menyertai latihan itu dan dengan kemahiran yang diperoleh para murid akan lebih berminat untuk bergiat aktif dalam bidang sukan terutama sukan tenis yang pada masa ini kurang mendapat perhatian dan minat orang ramai di negara ini.