Tarik minat belia imarahkan masjid

Tarik minat belia imarahkan masjid

Oleh Hjh Saemah Kepli

 

SERIA, 21 Nov – Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah Belait, Kementerian Hal Ehwal Ugama terus mengadakan program-program keagamaan yang dihasratkan dapat menarik minat lebih ramai belia untuk sentiasa memakmurkan dan mengimarahkan masjid.

Program Santai Bersama Belia, satu lagi aktiviti anjuran bersama dengan Ahli-ahli Jawatankuasa (AJK) Takmir Masjid Zainab, Kampung Lumut telah diadakan hari ini melibatkan penyertaan seramai 30 orang belia dan beliawanis daripada masjid-masjid di seluruh Daerah Belait.

Pegawai Hal Ehwal Masjid Daerah Belait, Haji Haslan bin Haji Shahbudin memberitahu, melalui program tersebut ia dihasratkan sedikit sebanyak akan menarik minat dari kalangan belia dan beliawanis untuk terus mencintai masjid, kerana selain tempat beribadah, masjid juga boleh dijadikan sebagai tempat menimba ilmu khususnya dalam hal-hal yang berhubungkait dengan pentadbiran seharian.

“Bermula daripada peringkat usia kanak-kanak, kemudian menjadi remaja dan seterusnya dewasa, kita mahukan mereka akan tetap mencintai masjid dan memakmurkannya, selain melalui program ini ia diisikan dengan aktiviti-aktiviti yang membukakan peluang kepada para belia untuk menyumbangkan tenaga, buah fikiran, serta apa jua yang difikirkan perlu untuk masjid,” katanya lagi.

Sesi bergambar ramai antara peserta program, belia  dan beliawanis daripada Masjid Sharif Ali Kampung Sengkurong dan Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong.
Sesi bergambar ramai antara peserta program, belia dan beliawanis daripada Masjid Sharif Ali Kampung Sengkurong dan Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong.
Antara peserta-peserta Program Santai Bersama Belia yang diadakan di Masjid Zainab Kampung Lumut.
Antara peserta-peserta Program Santai Bersama Belia yang diadakan di Masjid Zainab Kampung Lumut.

Beliau juga menambah, pelbagai aktiviti turut dimuatkan dalam aktiviti tersebut antaranya ialah solat fardhu berjemaah, sesi suai kenal, (ice breaking), perkongsian metode terbaik daripada belia-belia Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong dan juga beliawanis Masjid Sultan Sharif Ali, Kampung Sengkurong, di samping berkongsi pengalaman dengan belia-belia yang sudah mencapai kejayaan untuk diterapkan dalam rancangan akan datang.

Program Santai Bersama Belia, yang merupakan kali pertama diadakan itu juga merupakan satu program bagi mengisi masa lapang belia dan beliawanis, selain dihasratkan dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara para belia.

Program turut diserikan dengan ceramah bertajuk ‘Pengurusan Belia Masjid-Tujuan dan Gambaran yang Besar’ yang telah disampaikan oleh Graduan Bahagian Dakwah, Dr. Hajah Ummi.

ARTIKEL YANG SAMA