Tarik minat orang ramai terhadap kereta

Tarik minat orang ramai terhadap kereta

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 11 Jun – Dalam usaha membantu industri permotoran mempromosikan berbagai-bagai jenis jenama dan model kereta yang terdapat di Negara Brunei Darussalam, Syarikat Perdasa Sdn Bhd (SPSB) mengadakan Jerayawara Permotoran Belait, yang berlangsung selama empat hari bermula hari ini, di Pusat Insani, Seria.

Jerayawara seumpamanya yang pertama diadakan di Pekan Seria itu, telah dilancarkan oleh Pegawai Daerah Belait, Haji Harris bin Othman.

Turut hadir ialah penghulu-penghulu Mukim Belait dan Seria, beberapa orang ketua kampung di Daerah Belait, Pengerusi Eksekutif SPSB, Haji Mohd Musa bin Haji Suhaili, Pengarah Urusan Awang Mohd Hamdelah bin Haji Musa dan Ketua Jabatan Pengurusan Acara dan Pengiklanan, Awang Gary Yong.

Dalam ucapan alu-aluannya, Haji Mohd Musa berkata antara objektif jerayawara berkenaan adalah sebagai titik mula bagi pameran-pameran eksklusif selanjutnya di daerah ini.

“Jerayawara ini juga diharap sebagai tempat rangkaian perhubungan bagi pemilik-pemilik perniagaan serta usahawan dalam negeri/tempatan serta akan dikembangkan dengan rangkaian serantau dan luar negara pada masa akan datang,” tambahnya.

Tetamu kehormat ditunjukkan cara-cara pengendalian sebuah kereta yang dipamerkan di Jerayawara Belait Motor Show.
Tetamu kehormat ditunjukkan cara-cara pengendalian sebuah kereta yang dipamerkan di Jerayawara Belait Motor Show.

Menurut beliau, jerayawara ini pastinya akan dapat menarik minat orang ramai untuk datang melihat berbagai-bagai jenis kereta dan aksesori kereta yang turut dipamerkan.

“Jerayawara ini juga diharap akan dapat memeriahkan lagi suasana Pekan Seria dan Daerah Belait secara amnya agar menarik para pengunjung tempatan dan juga dari luar negeri,” beliau berkata sebelum mengakhiri ucapan dengan merakamkan ribuan terima kasih atas sokongan dan penghargaan daripada pihak pengurusan dan kakitangan Pusat Insani, Seria.

Antara syarikat-syarikat yang menyertai jerayawara itu ialah NBT Sdn Bhd yang mempamerkan jenama Toyota, Syarikat Goh Hock Kee dengan kereta-kereta berjenama Dodge, Jeep, Chevrolet, Mitsubishi dan Chrysler, Maju Motor dengan jenama Volkswagon, Takaful Brunei Berhad serta Syarikat AutoPro Tyre Sdn Bhd.

Jerayawara ini dibuka dari pukul 10 pagi hingga 8 malam kecuali hari Ahad yang akan berakhir pukul 6 petang.

ARTIKEL YANG SAMA