Tarik pelancong guna teknologi baharu

Tarik pelancong guna teknologi baharu

KUALA LUMPUR, 22 Dis (Bernama) – Industri pelancongan Malaysia perlu mengguna pakai teknologi baharu bagi menarik pelancong, kata penyedia perkhidmatan dan penyelesaian bersepadu taman hiburan.

Galasys PLC yang disenarai di Bursa Saham London, berkata memandangkan pengguna kini lebih canggih, industri pelancongan perlu memanfaatkan teknologi baharu bagi mendekati dan menarik pelancong.

“Operator taman tema di Asia telah meningkatkan pelaburan dalam saluran digital dan pengkomputeran. Namun di Malaysia, pelaburan agak perlahan disebabkan oleh Cukai Barang dan Perkhidmatan selain penyusutan nilai ringgit,” kata syarikat yang berpangkalan di Malaysia itu dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Tourism Malaysia, jumlah kedatangan pelancong merosot 9.4 peratus antara Januari dan Jun tahun ini, dengan 12.56 juta pelawat asing direkodkan sepanjang tempoh berkenaan berbanding 13.87 juta pada tempoh yang sama pada 2014.

Ketibaan dari China paling teruk terjejas, susut daripada 520,400 dari Januari hingga Mac tahun lepas kepada 380,000 (-28.5 peratus) dalam tempoh yang sama tahun ini.

Galasys berkata secara puratanya pelawat China jarang pergi lebih jauh dari Kuala Lumpur, Genting Highlands dan Melaka, disebabkan halangan bahasa dan kurangnya kaedah untuk menempah pakej di seluruh negara.

“Untuk menonjol di rantau ini, industri pelancongan Malaysia perlu mengkaji untuk mengubah cara mereka mempromosi Malaysia kepada dunia.

“Walaupun pengiklanan mungkin berjaya pada masa lepas, kaedah itu kurang berkesan hari ini dalam kalangan ‘pelancong didorong Internet’,” katanya.

Sementara itu, Galasys berkata dengan memanfaatkan kejayaan Platform Pemasaran Awan Pelancongan Pintar (ITCMP) di China, syarikat itu merancang melabur dan mengaplikasikannya di Malaysia dan bandar lain di Asia.

Dilancarkan awal tahun ini, ITCMP menyepadukan analitis data raya bagi membolehkan pelancong di China memilih destinasi tarikan, restoran, penginapan, membeli-belah, pengangkutan, hiburan dan banyak lagi, menerusi platform bersepadu yang mereka mudah membuat bayaran menerusi agensi perjalanan dalam talian pilihan atau gerbang pembayaran.

“Galasys yakin memperkenalkan semula Malaysia kepada pelancong yang memilih teknologi,” katanya.