Tarik perdagangan dunia

Tarik perdagangan dunia

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Sept – Setelah kejayaan penganjuran Ekspo ASEAN pada 2013, Syarikat Cityneon Sdn Bhd sekali lagi akan menganjurkan ekspo seumpamanya, bagaimanapun kali ini ia dinamakan sebagai Perdagangan dan Pengguna Antarabangsa Brunei (BITC) 2016, yang akan diadakan pada 27 Februari hingga 2 Mac 2016.

Pengerusi SHJ Consultant (konsultan ekspo), Sheikh Jamaluddin bin Sheikh Mohamed menjelaskan penukaran nama itu adalah untuk menjemput pedagang dalam mahupun luar negara bagi mencapai tujuan meningkatkan produktiviti dan perkongsian pasaran yang lebih besar melalui ekspo gergasi ini nanti.

“Kami percaya acara ini akan mempelawa lebih banyak aktiviti pertukaran perdagangan di antara negara-negara antarabangsa seperti dari China, Taiwan, Korea, Jepun, Australia, Rusia, India, Pakistan, Bangladesh dan negara-negara ASEAN.

“Ekspo tahun ini membawa 250 pameran di Dewan satu dan Dewan dua di Pusat BRIDEX,” jelasnya semasa sidang media BITC 2016 di Ibu Pejabat City Neon, Beribi petang tadi.

Datuk Ting Jack Chai (kiri) dan Sheikh Jamaluddin menjelaskan pada media mengenai ekspo yang akan diadakan pada awal tahun 2016.
Datuk Ting Jack Chai (kiri) dan Sheikh Jamaluddin menjelaskan pada media mengenai ekspo yang akan diadakan pada awal tahun 2016.

Ekspo bertema ‘Ke Arah Membina Masyarakat Perdagangan Mampan’ itu berobjektif untuk menarik perdagangan di antara negara-negara peserta dan menyediakan platform bagi peniaga tempatan untuk mempamerkan produk-produk terkini mereka dan membesarkan pasaran mereka, sekali gus akan dapat menjana perniagaan dan peluang pekerjaan. Pelbagai aktiviti seperti permainan, persembahan kebudayaan, taklimat perniagaan dan cabutan bertuah harian akan diadakan sepanjang ekspo itu nanti yang dibukakan kepada kesemua pengunjung.

Pengarah Urusan Cityneon Brunei, Datuk Ting Jack Chai semasa sidang media itu memberitahu bahawa mereka menjangka kehadiran pengunjung akan mencapai 100,000 orang.

Menurut beliau lagi, apa yang menarik pada ekspo kali ini, pengunjung ekspo juga akan berpeluang memenangi sebuah kereta baru.

ARTIKEL YANG SAMA