Tarikan haiwan liar, aktiviti lebih unik

Tarikan haiwan liar, aktiviti lebih unik

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Feb – Dalam menyokong seruan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri bagi aktiviti-aktiviti yang lebih unik dan menarik, Bluewaters Event Management akan menganjurkan pameran haiwan dalam bangunan terbesar setakat ini di Brunei yang akan diadakan di Pusat Biodiversiti Tropika, Sungai Liang pada 26 hingga 28 Februari dan 4 hingga 6 Mac nanti.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, ‘The Brunei Animal Adventure’ merupakan 100 peratus acara tidak mengaut keuntungan yang menyokong Nadi Borneo, pertubuhan amal bagi kanak-kanak yang mengidap kanser dan program-program pemuliharaan hidupan liar Bluewaters.

Acara ini disokong oleh Nadi Borneo di bawah Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan.

Semasa acara itu nanti akan diadakan dua persembahan langsung iaitu ‘Animal Encounter Show 2’ yang merupakan susulan bagi memperkenalkan rakan-rakan haiwan baru serta tabiat dan kekuatan haiwan-haiwan berkenaan, antaranya ular, sugar glider, kala jengking dan banyak lagi.

Manakala itu, persembahan ‘Crocodile – King of the River’ pula memberi peluang kepada pengunjung untuk bertemu buaya diberi nama Tick Tock yang terkenal, selain itu berpeluang untuk memberi makan anak buaya bernama Cuddles.

Sugar glider antara yang diperkenalkan semasa pameran haiwan di Pusat Biodiversiti Tropika, Sungai Liang pada 26-28 Februari dan 4-6 Mac nanti.
Sugar glider antara yang diperkenalkan semasa pameran haiwan di Pusat Biodiversiti Tropika, Sungai Liang pada 26-28 Februari dan 4-6 Mac nanti.

Menurut kenyataan itu lagi, pengendali buaya, Diony akan menunjukkan bagaimana dia menangkap buaya sepanjang enam kaki, diberi nama Tinkerbell, yang sangat kuat dan ganas. Setiap persembahan akan mengambil masa 25 minit.

Satu lagi tarikan istimewa ialah perjalanan dalam hutan selama 20 minit, di mana pengunjung dapat mempelajari dan melihat pelbagai haiwan sepanjang laluan berkenaan, malah terdapat kuiz-kuiz untuk pengunjung.

Tarikan-tarikan lain termasuk Mini Petting Zoo dan sudut kanak-kanak di mana mereka berpeluang bermain dengan mainan, mewarna dan membuat origami.

Para pengunjung juga akan berpeluang melihat haiwan daripada lima klasifikasi iaitu mamalia, ikan, amfibia, reptilia dan burung secara langsung di Mini Animal Kingdom.

Buat pertama kalinya juga, Pertandingan Pelbagai Haiwan Peliharaan akan diadakan pada 28 Februari ini, dengan dua kategori dibukakan iaitu anugerah haiwan peliharaan terbaik dan haiwan peliharaan dalam rumah terbaik.

Pada 6 Mac pula akan diadakan jualan garaj, di mana orang ramai boleh ikut serta dan menjual apa sahaja yang berkaitan dengan haiwan daripada sangkar, botol-botol hingga haiwan dan pakaian.

Kesemua persembahan dan tarikan mengambil masa sejam 30 minit dan tiket-tiket dijual pada harga $9.50 bagi orang dewasa dan $7.50 bagi kanak-kanak di antara dua dan 10 tahun, manakala itu, kemasukan bagi kanak-kanak berusia dua tahun ke bawah adalah percuma.

Tiket boleh didapati di No.8, Simpang 9 Jalan Mata Mata. Animal Adventure bermula pukul 8:45 pagi hingga 7 malam dan kemasukan terakhir ialah jam 5:30 petang.

Bagi maklumat lanjut, orang ramai boleh menhubungi talian 7175119 atau menyaksikan treler YouTube rasmi ‘Brunei Animal Adventure Trailer’.

ARTIKEL YANG SAMA