Tarikan ikan beku jadi kecaman

Tarikan ikan beku jadi kecaman

TOKYO, 28 Nov – Satu gelanggang luncur di Jepun yang membekukan 5,000 ikan mati dalam ais sebagai satu tarikan kepada pelawat telah dipaksa tutup setelah menerima kritikan.

Taman hiburan Space World kini sedang mencairkan gelanggang, yang mungkin mengambil masa seminggu, dan akan mengadakan upacara memperingati ikan yang mati, kata syarikat.

Gelanggang di barat daya Jepun itu dibuka pada 12 November, selepas 5,000 ekor ikan dibekukan di bawah permukaan ais sebagai kesan hiasan sementara pelanggan meluncur di atas.

Namun konsep tersebut dikecam sebagai tidak beretika dan gelanggang di bandar Kitakyushu dipaksa ditutup semalam, kata jurucakap Space World Koji Shibata.

“Kami menerima kritikan mengatakan adalah tidak baik menggunakan makhluk sebagai barang mainan, dan adalah tidak baik untuk membazirkan makanan,” beritahunya kepada AFP hari ini.

Media sosial meledak, dengan seorang pelawat ke laman taman di Facebook menulis: “Satu acara di gelanggang luncur ais dibekukan dengan ikan. Sungguh berdosa.” Ia bukan isu peribadi tetapi sosial. Mereka menjadikan makanan sebagai barang mainan di mana kanak-kanak pergi dan bermain,” kata seorang lagi penulis.

Shibata berkata kesemua ikan telah mati pada masa dibeli dan dianggap tidak sesuai untuk dijual di pasar.

“Kami mengadakan perbincangan mengenai aspek moral idea berkenaan” sebelum gelanggang didirikan, kata beliau. Toshimi Takeda, pengurus besar Space World, berkata matlamatnya adalah untuk pelanggan berseronok sementara juga mempelajari mengenai ikan.

“Kami mahu pelanggan mengalami perasaan meluncur di laut, tetapi selepas menerima kritikan, kami memutuskan kami tidak boleh beroperasi lagi,” kata beliau.

“Kami merancang untuk mengadakan satu upacara peringatan untuk ikan dengan menjemput paderi Shinto, yang telah kami rancang sebelum dikritik.” – AFP

ARTIKEL YANG SAMA