Tarikan terbaru di Daerah Tutong

Tarikan terbaru di Daerah Tutong

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 8 Ogos – Satu lagi tempat tarikan untuk beriadah bersama keluarga kini terdapat di Daerah Tutong, dengan terbinanya Pondok Impian yang dibina oleh seorang pesara guru di belakang rumahnya di Kampung Keriam.

Pemilik pondok berkenaan, Hajah Jainah binti Haji Lahab ketika ditemui berkata, pondok berkenaan merupakan impian beliau sekeluarga sebagai tempat beristirahat pada hujung minggu.

Beliau menyuarakan perasaan senang hati kerana pondok yang menjadi impiannya sudah pun siap dibina sejak tiga bulan yang lalu di belakang rumahnya dan boleh digunakan sepenuhnya.

Beliau yang juga merupakan salah seorang pengusaha Restoran Tanda Kasih di kampung tersebut dan merupakan bekas guru (pencen), mempunyai masa lapang dan mengambil kesempatan untuk bercucuk tanam dan berkebun di belakang halaman rumahnya.

Memandangkan di kawasan kebunnya masih lagi mempunyai tanah lapang, mereka mengambil keputusan untuk membina tiga buah pondok berhampiran kebun buah dan sayur-sayuran mininya dan dijadikan sebagai tempat beristirahat dan bersantai.

Pemilik Pondok Impian bergambar ramai bersama para pengunjung.
Pemilik Pondok Impian bergambar ramai bersama para pengunjung.

Beliau mengatakan lagi, usahanya membina pondok tersebut adalah amat berbaloi kerana pondok tersebut diharap akan dapat mengeratkan hubungan silaturahim yang mana pondok tersebut dibuat khas untuk ahli-ahli keluarga berkumpul untuk makan bersama.

Selain itu, dengan adanya pondok tersebut, ia boleh dijadikan terapi minda kepada pengunjung untuk beristirahat dan bersantai di pondok tersebut sambil menenangkan fikiran apabila menyaksikan tanaman yang hijau yang berdekatan dengan pondoknya.

Untuk menjaga kebun dan pondoknya dengan baik, setiap pagi beliau akan turun menyaksikan dan menjaga tanaman dan kebunnya, di samping dapat berehat dan membersihkan tiga buah pondok impian yang didirikannya.

Ahli-ahli keluarga dan pengunjung dapat menikmati pemandangan kebun dan bersantai di Pondok Impian.
Ahli-ahli keluarga dan pengunjung dapat menikmati pemandangan kebun dan bersantai di Pondok Impian.
Kebun Hajah Jainah yang juga berhampiran dengan pondok berkenaan.
Kebun Hajah Jainah yang juga berhampiran dengan pondok berkenaan.

Pembinaan Pondok Impian yang mencecah kira-kira $8,000 itu lengkap dengan tempat pantaran, mempunyai sinki dan air untuk mencuci, dan tempat memasak sesuai untuk ahli-ahli keluarga dan pengunjung untuk bersantai.

Dengan adanya pondok ini, beliau berharap ia akan menjadi satu kebajikan kepada ahli keluarganya dan orang ramai, sekiranya ada penuntut-penuntut sekolah mengadakan lawatan dan bersantai menggunakannya.

Jika terdapat orang luar yang berkeinginan untuk berkunjung ke Pondok Impian tersebut, beliau amat mengalu-alukannya untuk hadir ke No.4, Simpang 442, Kampung Keriam Tutong iaitu belakang Sekolah Nusa Jaya Keriam.

ARTIKEL YANG SAMA