Tarikh akhir pendaftaran Piala SC 25 Mac

Tarikh akhir pendaftaran Piala SC 25 Mac

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Mac – Orang ramai yang berhasrat untuk menyertai Kejohanan Piala SC bagi tahun 2015/2016 bolehlah membuat pendaftaran secara online melalui laman sesawang Bank Standard Chartered di www.sc.com/bn sebelum tarikh akhir bagi pendaftaran tersebut yang akan ditutup esok (25 Mac 2016).

Kejohanan lima sepasukan yang dijangka akan disertai seramai 24 pasukan itu akan membuka tirai perlawanannya pada 4 April nanti. Ketua Hal Ehwal Korporat, Jenama dan Pemasaran, Marilyn Graeme dalam kenyataannya berkata Bank Standard Chartered telah menjadi penaja utama Liverpool FC sejak 2009 dan berkongsi sama dalam apa jua manfaat yang diperolehi daripada kerjasama kedua belah pihak.

Kejohanan Piala SC juga jelasnya akan memberikan peluang kepada pasukan yang terlibat untuk merasai sendiri pengalaman yang sangat berharga apabila berpeluang menjejaki kaki ke Anfield nanti untuk menonton perlawanan secara langsung dengan tempat duduk yang eksklusif dan menerima sesi bimbingan daripada legenda LFC di Akademi LFC.

Selain itu, ia juga bertujuan bagi mengumpul dana amal, di mana 100 peratus daripada yuran pendaftaran yang dikumpulkan akan disumbangkan kepada pihak yang memerlukan.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan kami, Royal Brunei (RB) serta Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Persatuan Bola Sepak Kebangsaan (NFABD) atas sokongan mereka,” jelasnya lagi.

Penyertaan haruslah terdiri daripada rakyat Brunei atau penduduk tetap, berumur 18 tahun ke atas dan tidak terdiri daripada kalangan pemain profesional atau semi profesional. Setiap pendaftaran dalam setiap pasukan tidak dibenarkan membuat penyertaan lebih daripada dua penyertaan dalam Liga Futsal Kebangsaan.

Untuk mengetahui keterangan lebih lanjut, orang ramai bolehlah melayari laman sesawang Facebook di www.facebook.com/StandardCharteredBN.