Tarikh El Clasico diubah

Tarikh El Clasico diubah

MADRID, 16 Ogos (AFP) – Tarikh bagi kedua-dua pertembungan El Clasico antara Barcelona dan Real Madrid dalam La Liga diubah hanya beberapa hari sebelum musim baru bermula.

Pertembungan pertama antara dua kelab gergasi itu yang dijadual pada minggu 7/8 November di Santiago Bernabeu kini akan dimainkan dua minggu kemudian selepas rehat perlawanan antarabangsa pada 21 atau 22 November.

Begitu juga perlawanan kedua di Nou Camp akan diadakan seminggu lewat berbanding 9/10 April. Jadual itu dirombak kerana pusingan awal Piala Raja Sepanyol dan pembabitan Barcelona pada Piala Kelab Dunia.

Satu pusingan perlawanan pada pertengahan minggu dirancang pada 28 Oktober ini dibatalkan dengan anak buah Luis Enrique memulakan kempen mempertahankan trofi Piala Raja Sepanyol pada hari itu.

Ketika musim liga kini dijangka tamat lebih awal seminggu berbanding asal 22 Mei, final Piala Raja Sepanyol juga diubah ke 7 Mei. Musim baru La Liga bermula 21 Ogos ini.

Dalam perkembangan terbaru, bos Barcelona, Luis Enrique mempertahankan skuad bimbingannya dan yakin mereka mampu melakar kebangkitan pada perlawanan timbal balik Piala Super Sepanyol menentang Athletic Bilbao, awal pagi Selasa ini.

Pada perlawanan pertama awal pagi tadi, Barcelona dimalukan dengan kekalahan besar 4-0.

Gol-gol Bilbao dijaringkan Mikel San Jose seawal minit ke-13 permainan sebelum Aritz Aduriz meledakkan hatrik pada babak kedua membawa pasukan itu di ambang untuk menjulang trofi pertama sejak 31 tahun lalu.

“Jika ada sesiapa yang mampu mengubah perkara ini, ia adalah Barca. Kita lihat pada Isnin (Selasa) dan kami akan memberikan segala-gala yang kami miliki,” kata Enrique.

ARTIKEL YANG SAMA