Tarikh lihat anak bulan 5 Jun

Tarikh lihat anak bulan 5 Jun

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Mei – Negara Brunei Darussalam akan melihat anak bulan Ramadan pada petang 29 Syaaban 1437 Hijrah bersamaan 5 Jun 2016 di lokasi yang ditetapkan di negara ini.

Sehubungan itu, taklimat penglihatan anak bulan Ramadan dan Syawal telah diadakan di Dewan Mahkamah Besar Brunei dan Mahkamah-Mahkamah Syariah di ibu negara, hari ini. Taklimat disampaikan oleh Pemangku Timbalan Ketua Pendaftar, Haji Muhammad Bahrin bin Haji Alias.

Antara yang hadir pada sesi taklimat itu ialah Ketua Hakim Syarie, Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar dan Hakim Mahkamah Rayuan Syariah, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Paduka Setia Raja Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Suhaili bin Haji Mohiddin.

Menurut Haji Muhammad Bahrin, Majlis Ugama Islam Brunei memutuskan bagi penentuan awal bulan bagi bulan Ramadan, Syawal dan Zulhijjah melalui kaedah rukyah.

Haji Muhammad Bahrin semasa menyampaikan taklimat mengenai penglihatan anak bulan.
Haji Muhammad Bahrin semasa menyampaikan taklimat mengenai penglihatan anak bulan.

Katanya, kesaksian yang diterima pakai untuk penentuan awal bulan Ramadan adalah memadai dengan seorang saksi manakala bagi bulan Syawal, dua orang saksi. Proses dan amalan yang dilakukan adalah dengan melantik hakim-hakim Syarie dan pegawai yang terlibat seperti dari Kementerian Hal Ehwal Ugama, Jabatan Ukur, Kementerian Pembangunan dan Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri untuk bertugas di lokasi pencerapan atau penglihatan.

“Penglihatan anak bulan Ramadan di daerah ini di tempatkan di dua lokasi iaitu di Bangunan DST dan Bukit Agok, manakala di Daerah Tutong di Bukit Ambok dan di Daerah Belait di Bukit Lumut,” jelasnya.

Pada sesi taklimat itu, pegawai dari Jabatan Ukur turut menyampaikan taklimat yang menumpukan kepada perkiraan analisis anak bulan manakala taklimat mengenai analisis cuaca pula disampaikan oleh pegawai dari Jabatan Kaji Cuaca.

ARTIKEL YANG SAMA