Tarikh tutup pendaftaran Larian Wanita dilanjutkan

Tarikh tutup pendaftaran Larian Wanita dilanjutkan

Oleh Normazlina M.D

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 April – Tarikh tutup pendaftaran bagi mengikuti Larian Wanita 2016 anjuran Persatuan Siswazah Wanita (PSW) sempena Hari Wanita Antarabangsa 2016 telah dilanjutkan sehingga 12 April ini.

Sehubungan itu, orang ramai adalah dialu-alukan mengikuti larian khas untuk wanita ini, yang mana setiap pendaftaran hendaklah dibuat kepada akaun PSW di Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) bernombor 00-015-01-0037568 melalui mesin ATM, tunai atau cek. Bagi yang membuat pembayaran melalui perbankan dalam talian, peserta dimestikan menyertakan resit asal bayaran pendaftaran bersama borang pendaftaran untuk mendapatkan kit larian.

Selain itu, kutipan bayaran dan pengagihan kit larian juga diadakan mulai jam 4 petang hingga 6 petang di depan pintu masuk Pejabat Stadium Negara Hassanal Bolkiah berdekatan dengan Restoran Stadium.

Pendaftaran dan maklumat mengenai penyertaan boleh didapati dengan melayari laman Facebook PSW. Sebarang pertanyaan boleh dihantar melalui e-mel ke alamat pswlarian2016@gmail.com.

Larian berkenaan dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Kategori 10km dengan bayaran penyertaan sebanyak $35, Kategori 5km dengan bayaran $30 dan Kategori 3km dengan bayaran $25.

Larian tersebut merupakan salah satu daripada projek PSW bersempena menyambut Hari Wanita Antarabangsa 2016 ini yang antara lain bertujuan untuk menyatukan semua persatuan wanita khasnya dan wanita-wanita lain umumnya dalam satu kegiatan beriadah.

Selain itu, ia juga bagi memupuk semangat untuk terus berjaya dalam iklim pembangunan negara, di samping menambah tabung kewangan PSW untuk mengadakan beberapa acara ilmiah dan membiayai program-program kebajikan PSW seperti membantu kanak-kanak susah dan keluarga berkeperluan.

Dalam larian ini, pelbagai hadiah yang menarik dan hadiah-hadiah sagu hati turut disediakan, bukan sahaja untuk para pemenang, tetapi juga untuk cabutan bertuah.

ARTIKEL YANG SAMA