Tata India pecat Mistry

Tata India pecat Mistry

MUMBAI, 10 Nov – Konglomerat Tata India memecat Cyrus Mistry hari ini sebagai pengerusi syarikat gergasi IT Tata Consultancy Services, beberapa minggu selepas menyingkirnya sebagai ketua kumpulan dalam satu tindakan yang mengejutkan dunia perniagaan negara.

Mistry dipecat pada bulan lalu sebagai pengerusi Tata Sons, syarikat pegangan konglomerat keluarga paling terkenal di India – Kumpulan Tata yang bernilai AS$103 bilion.

Beliau terus memegang beberapa jawatan pengerusi lembaga syarikat Tata, termasuk syarikat kereta Tata Motors, yang memiliki Jaguar Land Rover di Britain, Tata Steel, Tata Power dan unit hotel mewahnya.

TCS berkata dalam satu kenyataan kepada Bursa Saham Bombay bahawa veteran Tata Ishaat Hussain telah mengganti Mistry sebagai pengerusi “dengan serta merta.” “Mistry telah berhenti menjadi Pengerusi Lembaga Pengarah Syarikat dan Hussain ialah Pengerusi baru syarikat,” kata TCS.

Pemecatannya sebagai pengerusi TCS, firma sumber IT terbesar di India, berlaku tatkala ketua syarikat Ratan Tata menuntut kuasanya ke atas konglomerat. Mistry dipecat pada 24 Oktober dengan Tata berasa tidak puas hati dengan kepimpinan Mistry. Tata, 78 tahun, yang memimpin kumpulan lebih daripada dua dekad lamanya, telah bertanggungjawab ke atas syarikat sehingga seorang pengganti dicari. Pasangan itu telah berbalas kata-kata pedas sejak penyingkiran Mistry, sekali gus menjerumus kumpulan dalam pertengkaran dalaman dengan pengarah dilantik di kedua-dua pihak.

Memecat Mistry daripada beberapa lembaga tidak akan menjadi senang memandangkan beliau adalah pewaris kepada syarikat pembinaan bebrilion dolar Kumpulan Shapoorji Pallonji, yang merupakan pemegang saham terbesar dalam Tata Sons, memiliki 18.4 peratus. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA