Tatacara menaik-kibarkan bendera negara

Tatacara menaik-kibarkan bendera negara

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 29 Okt – Jabatan Penerangan melalui Bahagian Kenegaraan dan Kemasyarakatan, telah meneruskan taklimat ‘Menghayati Lagu Kebangsaan dan Bendera Negara’ dengan kali ini diadakan di Dewan Serba guna Sekolah Vokasional Sultan Bokliah (SVSB), Lorong Tiga, Seria, hari ini.

Turut hadir mendengar taklimat berkenaan ialah Pengetua SVSB, Awang Akandi bin Haji Abd Razak dan timbalannya, Awang Johari bin Haji Mohammad.

Taklimat telah disampaikan oleh Penolong Pegawai Penerangan cawangan Penerangan Daerah Belait, Awang Hasanul Hidayat bin Haji Abu Bakar yang antara lain menjelaskan dengan terperinci mengenai tatacara menaik-kibarkan bendera negara dan sejarah lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam ‘Allah Peliharakan Sultan’.

Selain itu, beliau juga menjelaskan definisi, peranan dan mengenai sejarah bendera dan lagu kebangsaan negara.

Gambar ramai para pelajar dan kakitangan SVSB bersama kakitangan dari Jabatan Penerangan
Gambar ramai para pelajar dan kakitangan SVSB bersama kakitangan dari Jabatan Penerangan

Menurut beliau, rakyat dan penduduk negara ini dikehendaki untuk menaik-kibarkan dan kemudian menurunkan bendera negara pada waktu yang telah ditetapkan, yang lazimnya diumumkan melalui media massa kerajaan seperti Pelita Brunei serta Radio dan Televisyen Brunei.

Bendera yang dinaikkan atau dikibarkan, tambah beliau, mestilah dalam keadaan baik dan sempurna, iaitu tidak koyak, tidak luntur atau pudar warnanya dan dipasang di tempat yang sesuai mengikut keadaan tempat.

Program taklimat yang telah diadakan di sekolah-sekolah rendah kerajaan dan akan dilaratkan ke seluruh sekolah menengah di Brunei ini dihasratkan agar menimbulkan rasa hormat dan menjiwai lagu kebangsaan dan bendera negara dalam kalangan pelajar.

ARTIKEL YANG SAMA