Tatarstan dikenal pasti sebagai platform kewangan Islam

Tatarstan dikenal pasti sebagai platform kewangan Islam

KUALA LUMPUR, 9 Dis – Konsortium Malaysia-Rusia, yang diwujudkan untuk melaksanakan kajian daya maju mengenai pelaksanaan perbankan dan kewangan Islam di Rusia, mengenal pasti Tatarstan sebagai rantau utama untuk projek perintis.

Konsortium itu terdiri daripada Universiti Tun Abdul Razak (Unirazak), Institut Kewangan dan Perbankan Islam Malaysia (IBFIM), dan Dana Pembangunan Perniagaan dan Kewangan Islam Rusia (Dana IBFD).

Hasil kajian itu dibentangkan oleh Presiden dan Naib Canselor Unirazak Datuk Seri Dr Md Zabid Abdul Rashid kepada Perdana Menteri Tatarstan Ildar Khalikov.

Unirazak, dalam kenyataan hari ini, berkata kajian itu yang dijalankan oleh kerajaan Rusia, akan menjadi asas kepada perbankan Islam di Rusia.

“Laporan pasaran untuk tempoh sembilan bulan itu menyatakan Tatarstan merupakan platform yang sesuai untuk mewujudkan kewangan Islam.

“Ia turut menyatakan instrumen kewangan Islam berfungsi di negara-negara seperti Jepun, United Kindom dan Luxembourg, tanpa perlu membuat sebarang perubahan kepada undang-undang sedia ada di negara tersebut,” katanya.

Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia menerajui usaha strategik itu untuk menubuhkan konsortium Malaysia-Rusia, di bawah bidang kuasa Bank Negara Malaysia. – Bernama