Tatau terputus bekalan elektrik selepas dilanda ribut

Tatau terputus bekalan elektrik selepas dilanda ribut

MIRI, 26 Okt (Bernama) – Bekalan elektrik serta liputan telekomunikasi daerah Tatau, Bintulu hampir lumpuh berikutan kejadian ribut yang menjejaskan lebih 800 penduduk dalam kejadian berlaku pada awal pagi ini.

Pegawai Daerah Tatau Nyurak Keti berkata, jumlah tersebut adalah anggaran bagi penduduk yang tinggal di kawasan pekan serta kampung dan tidak melibatkan penduduk rumah panjang kawasan pedalaman kerana jumlah sebenar mangsa belum terjejas sedang dikenal pasti.

“Kejadian ribut berlaku bermula pukul 1.30 pagi hingga 2.30 pagi menyebabkan bekalan elektrik terputus melibatkan sekolah, pejabat kerajaan dan kedai sehingga sekarang dan Sarawak Energy Berhad (SEB) telah cuba untuk mengembalikan bekalan elektrik pada pukul 7 malam ini,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

“Sehingga sekarang kami masih bekerja tanpa elektrik, nak hantar laporan pun susah dan kalau terpaksa menggunakan telefon biasa kerana telefon mudah alih masih kurang jelas,” katanya.

Bernama difahamkan antara kawasan yang teruk dilanda ialah Kampung Dagang, Pekan Tatau melibatkan anggaran lebih 40 buah rumah, 20 buah bangunan kedai dan 16 kuarters kediaman anggota polis.

“Ribut terlalu kuat sehingga ada sebuah peti ais diterbangkan mujur tiada kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan setakat ini,” katanya.

Nyurak berkata, talian telekomunikasi melibatkan panggilan menggunakan telefon mudah alih Celcom, Digi dan Maxis mengalami gangguan akibat ribut tersebut.