Taufan: 17 pelajar Brunei di UK dipindahkan

Taufan: 17 pelajar Brunei di UK dipindahkan

Oleh Hakim Hayat & Fadhil Yunus

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Dis – Seramai 17 pelajar Brunei di United Kingdom (UK) telah dipindahkan ekoran Taufan Desmond berserta hujan yang mengakibatkan berlakunya banjir di beberapa kawasan di UK, terutama di bahagian barat laut negara itu hujung minggu lalu.

Unit Penuntut-Penuntut di Suruhanjaya Tinggi Brunei ke UK bertindak pantas menghantar dua misi penyelamat serta memindahkan pelajar-pelajar terjejas yang tinggal dan belajar di Lancaster, barat laut England, menggunakan tiga buah bas ke Brunei Hall di London pagi ini (waktu tempatan), tatkala bekalan elektrik terganggu manakala pengangkutan awam termasuk kereta api telah digantung ekoran taufan yang merosakkan sekitar 60,000 kediaman serta memutuskan laluan ke bandar-bandar dan desa.

Salah seorang pelajar yang terjejas, Awang Anwar Arsyad bin Haji Abdullah ketika dihubungi memberitahu, bekalan elekterik di kawasan mereka, termasuk universiti telah dipotong sejak Sabtu.

Katanya, mereka bernasib baik kerana hujan lebat yang turun tidak mengakibatkan banjir teruk di Lancaster.

Awang Anwar yang merupakan pelajar Tahun 2 di Universiti Lancaster berkata, semua 17 pelajar Brunei yang belajar di universiti yang sama dengannya di mana 15 daripada mereka tinggal di luar kampus manakala yang lain tinggal di dalam kampus.

Menurut beliau, semua pelajar yang tinggal di luar kampus telah berkumpul di kediamannya semasa bekalan elektrik terputus dengan rangkaian telefon mereka turut terjejas semasa bencana itu sebelum pasukan penyelamat dari pejabat Unit Penuntut-Penuntut mengambil langkah awal memindahkan 14 daripada mereka pagi ini dan yang lainnya dipindahkan kemudian.

Awang Anwar berkata, mereka berterima kasih kepada pihak Suruhanjaya Tinggi Brunei ke UK kerana amat mengambil berat akan kebajikan mereka.

ARTIKEL YANG SAMA