Taufan, gunung berapi ancam Filipina

Taufan, gunung berapi ancam Filipina

MANILA, 8 Mei (Reuters) – Filipina bersiap sedia untuk memindahkan penduduk di sepanjang pantai timur lautnya ketika taufan semakin dekat, dan juga mereka yang tinggal berhampiran gunung berapi bergegar yang telah mengeluarkan wap dan abu di tengah wilayah itu, menurut para pegawai hari ini.

Taufan Noul berada kira-kira 480km timur laut bandar Borongan di wilayah Timur Samar awal hari ini, dengan angin bertiup sehingga 185 km sejam dan dijangka mendarat sebagai ribut kategori empat pada hujung minggu.

Beribu-ribu penumpang telah pun terkandas di pelabuhan di sepanjang tengah dan timur Filipina selepas pihak berkuasa menghalang kapal dari belayar kerana laut bergelora.

Taufan itu, yang keempat melanda negara Asia Tenggara itu tahun ini, dijangka membawa turunan hujan terlalu lebat apabila ia mendarat di timur laut, menurut biro cuaca. Ia kemudian dijangka semakin lemah ketika bergerak menuju pulau Okinawa, Jepun pada hari Selasa.

Para pegawai memberi amaran bahawa hujan lebat dari taufan itu boleh mengakibatkan lahar lumpur dan serpihan, sekitar Gunung Bulusan, gunung berapi yang telah mengeluarkan abu minggu ini.

“Mungkin berlaku aliran lahar, gelongsor lumpur yang mungkin menghanyutkan rumah di kawasan itu jika berlaku hujan lebat, itu adalah keadaan yang berbahaya,” Esperanza Cayanan, ketua bahagian biro cuaca, memberitahu penerangan ringkas di agensi bencana kebangsaan.

Fritzie Michelena, pegawai bencana di Irosin, di wilayah tengah Sorsogon, tempat terletaknya gunung berapi itu, berkata kawasan perbandaran bersiap sedia untuk memindahkan para penduduk.

ARTIKEL YANG SAMA