Taufan Koppu: 16 maut, beribu terkandas

Taufan Koppu: 16 maut, beribu terkandas

SANTA ROSA, Filipina, 19 Okt – Penduduk kampung-kampung pertanian di Filipina terkandas di bumbung rumah mereka hari ini dan haiwan-haiwan terapung dalam sungai yang mula melimpahkan air, ketika angka kematian akibat Taufan Koppu meningkat kepada 16 orang.

Koppu, taufan kedua paling kuat melanda gugusan kepulauan Asia Tenggara yang paling teruk dicengkam bencana itu tahun ini, juga memaksa lebih daripada 60,000 orang daripada kediaman mereka, kata pihak berkuasa.

Selepas melanda pagi Ahad di pesisir timur Luzon, pulau terbesar Filipina, taufan yang bergerak perlahan itu menurunkan hujan ke beberapa kawasan pertanian paling penting negara. “Saya tidak pernah nampak sesuatu seperti ini. Ia merupakan bencana paling teruk pernah saya saksikan dalam sejarah hidup saya,” kata petani Reynaldo Ramos, 68, memberitahu AFP ketika dia berjalan dalam air separa lutut di Santa Rosa, kira-kira dua jam pemanduan dari utara Manila.

Unit tentera, kerajaan dan sukarelawan lengkap dengan but getah, cuba membantu penduduk di berpuluh-puluh kampung dilanda banjir, menurut Nigel Lontoc, seorang pegawai menyelamat kawasan.

Rumah-rumah separa tenggelam dalam air banjir disebabkan hujan lebat dibawakan oleh Taufan Koppu, dilihat di bandar City Camp Lagoon di bandar Baguio, utara Manila, 19 Oktober. - Reuters
Rumah-rumah separa tenggelam dalam air banjir disebabkan hujan lebat dibawakan oleh Taufan Koppu, dilihat di bandar City Camp Lagoon di bandar Baguio, utara Manila, 19 Oktober. – Reuters

“Banjir naik cepat dan beberapa orang kini berada di atas bumbung rumah mereka,” Lontoc memberitahu AFP, namun menambah tidak ada penyelamat mencukupi dan dia tidak tahu berapa ramai yang sudah diselamatkan.

Lontoc mengatakan beribu-ribu orang mungkin terkandas di kampung-kampung terbabit, meskipun ia terlalu awal untuk memastikan jumlah sebenar. Pihak berkuasa mengesahkan sekurang-kurangnya 16 orang mati akibat taufan dan angka kematian dijangka bertambah ketika jumlah pengiraan penuh dari kampung-kampung teruk dilanda taufan, dikumpulkan.

Taufan juga diramalkan terus menurunkan hujan lebat di seluruh Filipina sehingga Rabu. – AFP