Taufan landa hampir Tokyo

Taufan landa hampir Tokyo

TOKYO, 22 Ogos – Taufan kuat melanda berhampiran Tokyo hari ini, yang pertama sejak 11 tahun ia membadai rantau yang ramai penduduk itu, menutup sementara operasi lapangan terbang Jepun yang besar dan menangguhkan lebih 500 penerbangan di seluruh dunia.

Taufan Mindulle membuat pendaratan pada kira-kira jam 12:30 tengah hari (0330 GMT) di bandar Tateyama, 80km tenggara Tokyo, kata Agensi Meteorologi Jepun.

Pada jam 4 petang, ribut – membawa angin kencang kira-kira 162km sejam – melanda timur laut Tokyo dan bergerak ke utara 35km sejam, menurut agensi.

Menurut penyiaran awam NHK, kira-kira 30 orang mengalami kecederaan. Kebanyakan daripada mereka cedera ringan namun lelaki berusia 34 tahun mengalami patah tulang rusuk selepas jatuh ditiup angin kencang.

“Di Tokyo…sila sentiasa berjaga-jaga kemungkinan terjadinya tanah runtuh, banjir di kawasan rendah, air sungai melimpah, angin kencang dan ombak kuat,” kata agensi kaji cuaca.

Para penumpang yang berada di lobi berlepas Lapangan Terbang Haneda di Tokyo pada 22 Ogos. Taufan kuat melanda dekat Tokyo dengan lebih 400 buah penerbangan telah ditangguhkan atau dibatalkan akibat hujan lebat dan angin kencang. – AFP
Para penumpang yang berada di lobi berlepas Lapangan Terbang Haneda di Tokyo pada 22 Ogos. Taufan kuat melanda dekat Tokyo dengan lebih 400 buah penerbangan telah ditangguhkan atau dibatalkan akibat hujan lebat dan angin kencang. – AFP

Ia menandakan taufan pertama dalam masa 11 tahun yang melanda rantau Tokyo, kata agensi itu.

Air hujan telah mencetuskan kebanjiran di sungai-sungai, dengan jalan air yang hampir melimpah namun kekal dalam tebingnya.

Lapangan terbang Narita timur Tokyo menutup landasannya pada petang hari ini selama satu jam ketika para pegawai mengosongkan menara kawalan akibat angin kencang, menurut operator lapangan terbang.

Syarikat penerbangan di seluruh negara membatalkan kira-kira 508 penerbangan, terutamanya ke dan dari lapangan terbang Haneda, Tokyo, kata NHK.

Japan Airlines berkata ia membatalkan 185 penerbangan domestik, menjejaskan 33,692 penumpang, sementara All Nippon Airways membatalkan 112 penerbangan domestik, menjejaskan 26,500 penumpang.

Kebanyakan perkhidmatan utama komuter kereta api di Tokyo dan sekitar rantaunya beroperasi secara normal, termasuk kereta api laju.

Beberapa landasan kereta api, bagaimanapun mengalami penangguhan sementara dan pembatalan.

Secara berasingan, Taufan Kompasu, yang melanda pulau utama Hokkaido utara Jepun hari ini, sudah pun berkurangan pada tahap sederhana pada awal hari ini ketika ia bergerak ke Laut Okhotsk. – AFP