Taufan Mujigae ragut 7 jiwa di China

Taufan Mujigae ragut 7 jiwa di China

BEIJING, 5 Okt (AFP) – Puting beliung yang wujud disebabkan taufan membadai selatan China telah mengakibatkan kira-kira tujuh orang terbunuh dan lebih 200 cedera, lapor media kerajaan hari ini.

Taufan Mujigae, yang mendarat di wilayah Guangdong pada Ahad, juga telah membawa kecederaan kepada kira-kira 223 orang, menurut agensi berita rasmi Xinhua.

“Kematian dan kecederaan adalah disebabkan oleh puting beliung berpunca daripada taufan,” menurut laporan.

Kematian dan kecederaan dilaporkan di Guangdong serta kejiranan Rantau Autonomi Guangxi Zhuang, menurut laporan.

Bekalan kuasa elektrik terputus juga disebabkan oleh ribut, sementara berpuluh ribu orang telah dipindahkan dan tanaman padi turut musnah, menurut Xinhua.

Telekomunikasi putus juga telah memperlahankan laporan penilaian kerosakan.

Jabatan hal ehwal awam Guangxi melaporkan yang taufan itu telah menjejaskan lebih 1.44 juta orang pada awal petang hari ini.

Salah seorang mangsa korban, terbunuh akibat dihempap pokok tumbang di Nanning, bandar serantau, menurut Xinhua.

Taufan itu muncul ketika berjuta-juta rakyat China sedang bercuti untuk meraikan Hari Kebangsaan pada 1 Oktober. Kebanyakan pelancong menuju ke pantai selatan sub-tropika negara itu.