Taufan Nangka membadai Jepun

Taufan Nangka membadai Jepun

TOKYO, 17 Julai – Taufan Nangka melanda Jepun hari ini, membunuh sekurang-kurangnya dua orang dan mencetuskan banjir tatkala pihak berkuasa menggesa lebih daripada 230,000 penduduk supaya berpindah.

Membawa angin dengan kelajuan 126 kilometer sejam, Nangka bergerak ke pulau utama negara Honshu setelah mendarat berhampiran Cape Muroto di pulau Shikoku lewat semalam.

Ribut tersebut sedang melalui berhampiran wilayah Tottori di barat Jepun pada tengah hari, hari ini, bergerak ke utara pada 15 kilometer sejam ke arah Laut Jepun, kata Agensi Kaji Cuaca Jepun.

Nangka diambil namanya daripada sejenis buah Malaysia, melumpuhkan lalu lintas, menyebabkan sekurang-kurangnya 94 penerbangan domestik terkandas, tatkala hujan lebat dan angin kencang menjejas sebahagian besar kawasan barat Jepun, kata pegawai.

Gambar televisyen menunjukkan air berlumpur mengalir melimpahi sungai Naka di Tokushima sekaligus membanjiri sehingga tingkat kedua bangunan sekolah berhampiran.

Agensi cuaca telah mengeluarkan amaran untuk banjir, angin kencang, runtuhan tanah dan ombak tinggi di selatan Jepun.

Pihak berkuasa tempatan menggesa sekurang-kurangnya 230,000 penduduk supaya berpindah, menurut penyiar awam Jepun NHK.

Seorang penduduk berusia 71 tahun yang cuba memperkukuh kaca tingkap ditemui mati semalam di pulau Awaji, wilayah Hyogo, kata seorang pegawai tempatan, menambah beberapa runtuhan tanah juga dilaporkan.

“Angin semakin lemah tetapi hujan masih lebat. Kami masih meminta penduduk supaya mengambil langkah berjaga-jaga,” kata pegawai. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA