Taufan Nangka ubah haluan

Taufan Nangka ubah haluan

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Julai – Mengikut ramalan cuaca terkini yang dikeluarkan oleh Pusat Amaran Taufan Bersatu di Hawaii, Amerika Syarikat, Taufan Nangka yang diramalkan menuju ke Filipina dan rantau kita telah berubah haluan ke Barat Laut menuju Jepun.

Oleh yang demikian risiko bagi Negara Brunei Darussalam untuk mengalami keadaan cuaca berangin rebut pada masa ini adalah rendah.

Pemangku Pengarah Kajicuaca, Jabatan Kaji Cuaca Brunei Darussalam, Awang Muhamad Husaini bin Aji berkata, bagaimanapun, pihaknya akan sentiasa memantau keadaan taufan ini dan mengemas kini sebarang perkembangan yang boleh menjejaskan negara dalam beberapa hari akan datang.

Bagi ramalan cuaca untuk minggu ini, hujan dan hujan berpetir sekali sekala dijangka melintasi negara mulai hari ini hingga Khamis, katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Beliau turut menasihatkan orang ramai untuk mendapatkan maklumat atau amaran cuaca terkini melalui Radio Televisyen Brunei dan juga laman sesawang jabatan di www.met.gov.bn; aplikasi rasmi jabatan Brunei WX atau laman facebook Jabatan Kaji Cuaca Brunei Darussalam.

Orang ramai juga diingatkan supaya tidak menyebarkan sebarang maklumat cuaca yang tidak disahkan melalui media-media sosial yang boleh menyebabkan keadaan resah dan panik kepada orang awam.

“Kami akan terus memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa dan mengeluarkan nasihat atau amaran cuaca jika situasi memerlukan mengikut Prosedur Operasi Standard Jabatan.

“Untuk mendapatkan maklumat cuaca terkini, orang ramai boleh menghubungi Pegawai Peramal Kaji Cuaca yang bertugas di talian cuaca 114 atau 2345567,” ujar beliau.

ARTIKEL YANG SAMA