Taufan Nicole ancam Bermuda

Taufan Nicole ancam Bermuda

MIAMI, 13 Okt – Bermuda berdepan Taufan Nicole hari ini ketika ribut kuat Kategori 4 berpusar-pusar ke arah pulau tersebut yang sudah pun dilanda keadaan ribut tropika, menurut ramalan kaji cuaca.

“Dalam laluan yang diramalkan itu, teras Nicole akan melintasi berhampiran Bermuda pada pagi ini,” menurut Pusat Taufan Kebangsaan AS dalam kemas kini pada 0500 GMT.

Kekuatan angin ribut itu dicatat sekitar 130 batu (210km) sejam, dengan tiupan kencang, kata NHC berpangkalan di Miami.

Nicole terletak kira-kira 100 batu barat daya pulau kecil Britain di Atlantik, bergerak ke arah utara-timur laut pada 15 batu sejam. Angin berkekuatan taufan itu akan merentangi 65 batu dari pusatnya, kata NHC.

“Walaupun sekali-skala diramal lemah, Nicole dijangka akan menjadi taufan besar apabila ia bergerak berhampiran Bermuda hari ini,” tambahnya.

Pihak berkuasa menutup sekolah dan pejabat kerajaan, serta bangunan-bangunan ditutup ketika angin kencang dan hujan melanda pulau itu pada Rabu. Syarikat penerbangan telah membatalkan perjalanan ke pulau-pulau tersebut.

“Saya percaya kami pada dasarnya sudah bersedia,” media tempatan melaporkan Perdana Menteri Michael Dunkley sebagai berkata.

“Kini kami hanya berharap dan berdoa untuk yang terbaik.” Ribut berbahaya akan mengakibatkan paras air meningkat sekitar enam ke lapan kaki daripada paras pasang surut biasa, diiringi dengan ombak ‘kuat dan membinasakan’, kata NHC. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA