Taufan: Pasukan B-15 Brunei selamat

Oleh Mohamad Asyramisyanie

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Sept – Jurulatih Pasukan Bola Sepak Bawah 15 Tahun (B-15) Brunei Darussalam, Stephen Ng memaklumkan bahawa semua pemain dan delegasi Brunei Darussalam yang menyertai kelayakan Kejohanan Persekutuan Bola Sepak Asia B-16  2018 dalam keadan selamat sejak ketibaan di Chinese Taipei semalam.

Beliau menyarankan supaya peminat dan penyokong pasukan negara untuk tidak risau mengenai ramalan bahawa taufan akan melanda negara penganjur hari ini, yang turut menyebabkan perlawanan persahabatan menentang Akademi Chelsea Taipei dibatalkan sebelum perlawanan pembukaan Sabtu ini menentang Macau.

Menurut Stephen, situasi di sana tidak seteruk yang dijangkakan kerana ramalan cuaca menjangkakan akan berlaku tiupan angin berkelajuan 137 hingga 173 kilometer sejam. Beliau turut menambah bahawa semua dalam keadaan baik sahaja dan menurut ramalan cuaca di sana langit akan beransur cerah Jumaat ini nanti dan mengesahkan taufan berkenaan berubah arah menuju ke Jepun.