Taufan Sarika landa Filipina

Taufan Sarika landa Filipina

MANILA, 16 Okt – Taufan Sarika melanda pulau utama Filipina, Luzon awal hari ini, mengakibatkan bumbung-bumbung tercabut, memutuskan talian tenaga dan memaksa lebih 12,000 orang mencari tempat berlindung di kawasan lebih selamat, menurut para pegawai.

Kejadian tanah runtuh dan banjir juga dilaporkan sehari selepas taufan itu melintasi pulau terpencil itu dan mengakibatkan seorang mati lemas dan tiga lagi dilaporkan hilang, menurut mereka.

“Bumbung-bumbung beberapa buah rumah terpelanting dan bekalan tenaga terputus di beberapa kawasan,” Mina Marasigan, jurucakap wanita bagi Majlis Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Kebangsaan memberitahu AFP.

“Kejadian tanah runtuh juga dilaporkan serta juga banjir. Kami sedang menantikan taufan itu reda untuk membuat penilaian penuh,” tambah Marasigan.

Sarika semakin melemah sejak mendarat di bandar pantai timur Baler sebelum subuh ini, dengan membawa angin 130 kilometer sejam, menurut pihak-pihak peramal kaji cuaca.

Beberapa orang awam berjalan di kawasan pejalan kaki semasa waktu hujan yang dibawa oleh Taufan Sarika kelmarin di Manila, Filipina. – AP
Beberapa orang awam berjalan di kawasan pejalan kaki semasa waktu hujan yang dibawa oleh Taufan Sarika kelmarin di Manila, Filipina. – AP

Ia kemudian melalui kawasan pergunungan yang tidak ramai penduduk pada sebelah pagi, dan dijangka ber-gerak keluar ke Laut China Selatan di sebelah petang.

Agensi bencana Marasigan berkata hampir 12,500 orang meninggalkan rumah mereka, mencari tempat perlindungan di rumah-rumah perlindungan kerajaan dan rumah anggota keluarga.

Seramai 11 orang diselamatkan selepas sebuah bot karam di perairan pulau timur, Samar pada hari Jumaat lalu, manakala kira-kira 1,000 buah bot dan 6,500 orang penumpang terkandas di pelabuhan ketika pengawal pantai menegah kapal-kapal lebih kecil dari keluar ke laut.

Agensi bencana berkata 290 penerbangan komersial termasuk 63 ke destinasi antarabangsa, dibatalkan disebabkan cuaca buruk. Marasigan juga berkata 23 pendaki gunung diselamatkan di utara Filipina.

Kepulauan Filipina kerap menjadi negara utama pertama dilanda oleh ribut yang terhasil di Lautan Pasifik. Kepulauan Asia Tenggara itu mengalami kira-kira 20 ribut besar setiap tahun, kebanyakannya bencana yang membawa maut. – AFP