Taufan Sarika tidak melanda Sabah

Taufan Sarika tidak melanda Sabah

KUALA LUMPUR, 16 Okt – Taufan Sarika yang dikesan 1,248 kilometer ke timur laut Sandakan, Sabah pada pukul 8 malam Jumaat lalu tidak akan melanda Sabah, demikian menurut Jabatan Meteorologi Malaysia.

Jabatan itu dalam kenyataan hari ini berkata pencerapan pada 5 petang (15 Oktober), menunjukkan Taufan Sarika berada di Timur Filipina pada latitud 15.0 Utara, longitud 123.4 Timur sedang bergerak ke arah Barat-Barat Laut dengan kelajuan 15 kilometer sejam menuju ke arah Pulau Luzon.

“Kewujudan Taufan Sarika telah menyebabkan kejadian angin kencang dan laut bergelora di kawasan Utara perairan Selat Melaka, Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

“Jumaat lalu (14 Oktober) dilaporkan bahawa angin kencang Barat Daya berkelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam dan ombak setinggi 3.5 meter dijangka berlaku di beberapa kawasan perairan Malaysia bermula 15 hingga 19 Oktober ini,” menurut kenyataan jabatan itu.

Kawasan yang terlibat adalah perairan Perlis, Kedah dan Pulau Pinang, Sarawak (Rejang, Mukah, Bintulu dan Miri), Labuan dan Sabah (Pedalaman, Pantai Barat, Kudat dan Sandakan). – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA