Taufan Soudelor ragut 9 jiwa

Taufan Soudelor ragut 9 jiwa

BEIJING, 9 Ogos (AFP) – Taufan Soudelor meragut sembilan nyawa di timur China selepas beberapa wilayah di negara terbabit dilanda hujan paling lebat dalam abad ini, lapor media tempatan hari ini.

Tiga orang dilaporkan hilang selepas ribut kencang yang mengakibatkan tanah runtuh di kawasan luar bandar di wilayah timur Zhejiang, lapor agensi berita Xinhua, memetik pegawai bencana tempatan.

Daerah Wencheng mencatatkan penurunan hujan 645 milimeter dalam masa tempoh 24 jam, hujan paling lebat dalam tempoh 100 tahun.

Ribut juga menyebabkan sekurang-kurangnya 248 juta yuan (BND$55 juta) anggaran kerugian ekonomi dan pemotongan kuasa elektrik terhadap lebih daripada dua juta rumah, kata Xinhua.

Lebih daripada satu perempat rumah yang mengalami gangguan elektrik berjaya dipulihkan pagi Ahad.

Kawasan yang terjejas dengan taufan Soudelor di China. – Reuters
Kawasan yang terjejas dengan taufan Soudelor di China. – Reuters

Pusat Meteorologi Kebangsaan China meramalkan taufan itu akan mula berkurangan pada malam Ahad kerana ia mula bergerak ke kawasan pedalaman.

Sementara itu, taufan terbabit juga menyebabkan enam orang mati dan 379 orang cedera di Taiwan serta mengakibatkan banyak pokok musnah dan tanah runtuh, serta mengakibatkan gangguan elektrik.

Hampir setengah juta rumah masih tanpa kuasa elektrik setakat hari ini, Taiwan Power Co. berkata, jalan raya juga ditutup bagi membolehkan kerja memulihkan bekalan di sesetengah kawasan dilakukan.

ARTIKEL YANG SAMA