Tawanan Taliban bebas selepas 5 tahun

Tawanan Taliban bebas selepas 5 tahun

OTTAWA, 13 Jan (AFP) – Seorang lelaki Kanada telah dibebaskan di Afghanistan selepas dijadikan tebusan oleh Taliban lima tahun lalu, kata menteri luar Kanada pada Isnin.

Colin Rutherford, yang berusia 26 tahun apabila beliau dilaporkan hilang pada Februari 2011 ketika melawat negara itu sebagai seorang pelancong, dibebaskan dengan bantuan Qatar.

“Kanada berasa gembira usaha yang diambil untuk membebaskan Colin Rutherford telah berjaya,” kata Menteri Luar Kanada Stephane Dion dalam satu kenyataan. Kami tidak sabar-sabar Rutherford dapat pulang ke Kanada dan bersatu dengan keluarganya,” tambah beliau.

Taliban mengesahkan pembebasannya “berdasarkan sebab-sebab kemanusiaan” dalam satu kenyataan ringkas semalam, yang tidak memberikan butir lanjut.

Kumpulan pemberontak itu telah menangkap Rutherford di tengah wilayah Ghazni, yang menuduhnya menjadi seorang pengintip.

Dalam satu video yang dikeluarkan oleh kumpulan militan pada Mei 2011, Rutherford berkata beliau berkunjung ke Afghanistan untuk melihat “tapak bersejarah, bangunan lama, tempat suci.”

Seorang pegawai khas AS yang ditugaskan merunding pembebasan tentera Amerika Bowe Bergdahl memberitahu satu pertemuan Senat AS pada Jun 2015 bahawa Jabatan Negara AS telah menolak satu rancangan yang juga mungkin melihat Rutherford dan yang lainnya dibebaskan.

Dalam usaha beliau, Leftenan Kolonel Jason Amerine berkata beliau memperoleh maklumat mengenai Rutherford serta warga AS Warren Weinstein dan orang lain yang ditahan.

Menurut keterangan beliau, Rutherford mungkin telah berpindah ke Pakistan pada satu masa. Weinstein tersilap dibunuh pada Januari 2015 dalam satu serangan dron AS.

ARTIKEL YANG SAMA